Tiga beradik terharu terima rumah baharu menjelang Aidilfitri

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah (tengah) menyerahkan kunci rumah sumbangan Muip kepada Norahati (depan) sambil diperhatikan Tengku Hassanal (kiri), Norshahida (kanan) dan Norizan.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah (tengah) menyerahkan kunci rumah sumbangan Muip kepada Norahati (depan) sambil diperhatikan Tengku Hassanal (kiri), Norshahida (kanan) dan Norizan.
A
A
A

KUANTAN - Impian tiga beradik untuk tinggal di rumah sendiri yang selesa menjadi kenyataan beberapa hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Rumah yang dibina melalui bantuan bina baharu rumah asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di Kampung Alor Ladang, Beserah di sini itu diserahkan kepada penerima, Norahati Embong, 64, pada Sabtu.

Lebih bermakna, rumah yang menjadi hadiah Aidilfitri paling bermakna bagi tiga beradik itu diserahkan sendiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Adik penerima, Norshahida Embong, 43, berkata, kakaknya seorang warga emas dan penghidap penyakit strok kira-kira tiga tahun lalu.

Menurutnya, kakak sulungnya yang kini bergantung kepada kerusi roda ditawarkan bantuan rumah itu oleh Seri Paduka Baginda tahun lalu ketika bertemu dalam satu majlis sempena sambutan Nuzul Quran pada Ramadan tahun lalu.

"Ketika itu, kami bertiga termasuk kakak kedua, Norizan Embong, 63, tinggal di rumah peninggalan ibu bapa yang dibina atas tanah orang lain di Kampung Baru, Beserah di sini.

"Bila kakak terima tawaran itu, Tuanku minta pihak Muip uruskan termasuk cari tapak dan bina rumah yang dijanjikan

"Alhamdulillah, rumah ini telah siap dan diserahkan oleh Tuanku seperti yang dijanjikan.

"Tuanku memantau perkembangan pembinaan rumah ini malah pernah berjanji dengan kakak, Seri Paduka Baginda sendiri akan serah dan merasmikannya," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah itu di sini pada Sabtu.

Norshahida berkata, mereka bertiga dijangka berpindah ke rumah baharu itu selepas hari raya ini.

Katanya, sejak kakak sulung menghidap strok dan kakak kedua mengalami masalah tiroid, dia yang menjadi tulang belakang keluarga termasuk menguruskan kakaknya itu.

"Alhamdulillah, Norahati menerima bantuan bulanan dari Muip dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menggunakan wang tersebut untuk keperluan hidupnya.

"Saya sendiri kini bergantung kepada pendapatan hasil menjual kuih kira-kira RM1,000 sebulan selepas berhenti kerja untuk menjaga dan menguruskan kakak yang diserang strok," jelasnya.

Norshahida memiliki segulung ijazah dan pernah bekerja di sebuah syarikat perumahan selama lapan tahun sebelum ditamatkan perkhidmatan dengan pampasan kerana projek tamat.

"Sejak itu, saya ambil keputusan tidak mencari kerja lain dan memberi tumpuan menjaga kakak dengan membuat kuih untuk menyara kehidupan," jelasnya.

Rumah tiga bilik berkeluasan 20x33 kaki persegi sumbangan Muip yang diserahkan Al-Sultan Abdullah itu berharga RM90,000.

Turut berangkat ke majlis itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain.