Tebatan banjir: Shahidan sedia beri penerangan

Shahidan (berdiri, kiri) bersama Mustapa (berdiri, kanan) menyerahkan sumbangan peralatan dapur kepada penerima Zarina Abu Safian dari Perumahan Awam Desa Rejang (kanan) bersama Azman Hassan (dua dari kanan) dari PPR Kerinci pada Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia di Kompleks Komuniti Muhibbah PPR Kampung Muhibbah Bukit Jalil pada Ahad. -Foto:Bernama
Shahidan (berdiri, kiri) bersama Mustapa (berdiri, kanan) menyerahkan sumbangan peralatan dapur kepada penerima Zarina Abu Safian dari Perumahan Awam Desa Rejang (kanan) bersama Azman Hassan (dua dari kanan) dari PPR Kerinci pada Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia di Kompleks Komuniti Muhibbah PPR Kampung Muhibbah Bukit Jalil pada Ahad. -Foto:Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersedia memberi penjelasan terperinci mengenai isu tebatan banjir di ibu negara dan menyifatkan tindakan saman yang mahu diambil terhadap pihaknya berkaitan perkara itu sebagai hak masing-masing.

Beliau berkata, langkah tebatan banjir kilat di ibu negara telah menjalani prosedur pengauditan ditetapkan dengan sebahagian daripadanya sudah selesai manakala yang lain sedang berjalan.

"Tapi kalau nak minta hitam putih pakai surat peguam dan sebagainya, kita kena jawab ikut perundangan lah, ini melibatkan audit, audit akan buat teguran dan sebagainya.



"Sekiranya mereka nak saman juga sebab boleh pergi mahkamah dan nak publisiti, itu hak mereka, kalau nak minta penjelasan, boleh jumpa saya, esok boleh, malam ni pun boleh, " katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Peralatan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkaitan tindakan seorang peguam dan beberapa penduduk Kuala Lumpur yang berhasrat memfailkan saman meminta beliau dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberi maklumat terperinci mengenai langkah tebatan banjir di ibu negara susulan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1.

Beliau juga berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melakukan kawalan terperinci di lebih 30 lokasi panas sekitar ibu negara bagi memastikan insiden banjir kilat tidak berterusan serta berulang terutama pada musim tengkujuh yang bakal tiba.

Katanya, kedua-dua pihak siap siaga daripada pelbagai aspek bagi menghadapi kebarangkalian situasi taburan hujan luar biasa termasuk sistem saliran dan kawasan tadahan selain perpindahan mangsa banjir.

Sebelum itu, Shahidan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyerahkan bantuan peralatan keusahawanan seperti mesin pengisar dan perkakasan gunting rambut kepada 45 peserta Program BMTKM membabitkan penduduk empat Projek Perumahan Rakyat di ibu negara.

Program itu diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri yang bermatlamat membasmi kemiskinan tegar dan sedang dilaksanakan secara berfasa hingga akhir tahun 2025. -Bernama

TAG:
Artikel Berkaitan: