[VIDEO] Lapan individu didakwa salah guna kad petrol PDRM

Tertuduh dihadapkan di Mahkamah Majistret Kemaman pada Ahad atas 45 tuduhan menyalahgunakan kad petrol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tertuduh dihadapkan di Mahkamah Majistret Kemaman pada Ahad atas 45 tuduhan menyalahgunakan kad petrol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
A
A
A

KEMAMAN - Lapan bekas pekerja di sebuah stesen minyak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas dakwaan menyalahgunakan kad petrol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tertuduh Mohamad Amirul Izzat Mohamad, Md Nazrul Khusairi Mohamad Ros, Muhamad Ikhwan Ruslan, Muhamad Aidil Mohd Kamal, Muhamad Khairi Fakhri Abd Karim, Khairul Fadhli Bahar, Abdullah Hassani Basri dan Iskandar Zulkarnain Adenan yang berusia lingkungan 23 hingga 32 tahun didakwa melakukan kesalahan itu ketika bekerja sebagai pembantu pam minyak di sebuah stesen minyak di daerah ini pada 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman minimum enam bulan penjara, maksimum lima tahun penjara dan dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh tidak mengaku salah setelah 45 pertuduhan ke atas mereka dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman dihadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dalam mencapai niat secara curang dan tidak jujur menggunakan kad inden milik PDRM bernilai antara RM50 hingga RM830.05 antara jam 7 pagi hingga 3 petang pada Oktober hingga Disember 2017.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin antara RM5,500 hingga RM30,500 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 November depan.

Difahamkan kesemua tertuduh berdepan 138 lagi pertuduhan menjadikan keseluruhan 183 pertuduhan yang didakwa melibatkan kesalahan dibawah seksyen yang sama.

Kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel Berkaitan: