Pemuda maut ketika berkonvoi

Keadaan motosikal Yamaha Y15 yang ditunggang Muhammad Nasrul selepas terlibat kemalangan maut. (Gambar dalam : Muhammad Nasrul)
Keadaan motosikal Yamaha Y15 yang ditunggang Muhammad Nasrul selepas terlibat kemalangan maut. (Gambar dalam : Muhammad Nasrul)
A
A
A

MELAKA - Perjalanan konvoi sekumpulan motosikal berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas melanggar sebuah kenderaan sebelum dirempuh kereta di Kilometer 202.9 Lebuhraya PLUS (arah utara), tengah malam Sabtu.

Kejadian jam 12.40 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Nasrul Adnan, 18, yang menunggang motosikal Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur bersama 12 lagi rakan-rakannya.

Bagaimanapun, setiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa telah melanggar belakang sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero di lorong kiri.

"Pelanggaran itu telah menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dirempuh sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 29 tahun yang tidak sempat mengelak.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Ujar beliau, pemandu Mitsubishi Pajero itu diminta tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: