Remaja maut dirempuh kereta tayar pecah

Keadaan motosikal ditunggang mangsa setelah dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan akibat tayar pecah dalam kejadian di Kilometer 38, Kampung Bukit Nenas-Kampung Tayor di Setiu pada Selasa.
Keadaan motosikal ditunggang mangsa setelah dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan akibat tayar pecah dalam kejadian di Kilometer 38, Kampung Bukit Nenas-Kampung Tayor di Setiu pada Selasa.
A
A
A

SETIU - Seorang remaja maut apabila motosikal ditunggang tidak sempat mengelak sebuah kereta yang hilang kawalan akibat tayar pecah dalam kejadian di Kilometer 38, Kampung Bukit Nenas-Kampung Tayor, di sini, pada Selasa.

Insiden berlaku kira-kira jam 5.55 petang itu menyebabkan mangsa, Muhammad Daniel Iqram Apizul, 14, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Hussin berkata, ketika kejadian mangsa bersama rakannya yang menunggang motosikal Honda C100 dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dari sebuah stesen minyak menghala ke Kampung Bukit Nenas, di sini.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah Kuala Berang menghala Kampung Pak Kancil, di sini, hilang kawalan apabila satu daripada tayarnya pecah lalu melanggar dua motosikal tersebut dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan itu mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong maut di lokasi kejadian manakala rakannya Muhammad Airiel Zikry Jafferi, 14, cedera ringan," katanya kepada pemberita pada malam Selasa.

Jelas Affandi, pemandu Proton Wira berusia 24 tahun mengalami luka kecil pada bahagian dahi sementara rakannya yang berusia 33 tahun patah paha dan lengan kiri.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.