Pemandu maut tersepit nahas dua kenderaan

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Toyota Yaris dalam kejadian kemalangan di Jalan Jengka 6 ke Jalan Jengka 3 pada Jumaat. - Foto: JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Toyota Yaris dalam kejadian kemalangan di Jalan Jengka 6 ke Jalan Jengka 3 pada Jumaat. - Foto: JBPM
A
A
A

JENGKA - Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam kenderaan selepas terbabit dalam nahas melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Jengka 6 ke Jalan Jengka 3 dekat sini pada Jumaat.

Mangsa berusia 41 tahun iaitu pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Yaris meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 7.19 malam.

Menurutnya, seramai lapan anggota dan seorang pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka dikerahkan ke tempat kejadian.

"Komander operasi melaporkan berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bertembung dengan Toyota Yaris dan terdapat satu lelaki dewasa iaitu pemandu SUV terbabit tersepit dalam kenderaan terbabit.

"Pasukan bomba membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun Zulfadli berkata, empat mangsa iaitu dua lelaki dan dua wanita dewasa dari pada Triton mengalami kecederaan.

"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mereka yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," ujarnya.