Peruncit, pemborong boleh simpan bekalan lebih 30 peratus

Azman (dua dari kiri) bersama Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (tengah) membantu seorang pelanggan membeli ayam ketika meninjau PJMKM di Kampung Duyong, di sini pada Ahad.
Azman (dua dari kiri) bersama Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (tengah) membantu seorang pelanggan membeli ayam ketika meninjau PJMKM di Kampung Duyong, di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Semua peruncit terpilih daerah (DDR) dan pemborong terpilih daerah (DDW) dibenarkan menyimpan bekalan barangan keperluan asas melebihi 30 peratus dari jumlah dilesenkan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kebenaran itu dikeluarkan kepada 2,711 DDR dan 1,039 DDW di seluruh negara bermula Oktober ini.

“Kebenaran ini bagi memastikan barang keperluan harian sentiasa ada, cukup dan tidak terputus ketika banjir untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Kampung Duyong, di sini pada Ahad.

Menurut Azman, lebihan bekalan 30 peratus itu hanya sebagai persediaan awal dan jumlah tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi bencana berdasar perkembangan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Sementara itu beliau berkata, kerajaan akan memperluaskan trak perkhidmatan mengisi minyak bergerak (ROVR) ke seluruh negara sebagai persediaan musim banjir yang dijangka tiba tidak lama lagi.

Katanya, sebanyak 32 lori dan empat buah trak disediakan bagi tujuan tersebut dan boleh digerakkan ke lokasi yang memerlukan sebagai kemudahan orang ramai termasuk pasukan penyelamat mendapat akses bahan api dengan lebih mudah dan pantas.

“Sebelum ini, kemudahan ROVR yang disediakan di Terengganu dan Kelantan pada Mac lalu dan kita perluaskan ke negeri-negeri lain juga dan ini sebagai persediaan awal sebelum berlakunya banjir,” katanya.

Mengulas mengenai isu kekurangan bekalan telur ayam di beberapa kawasan dalam negara ketika ini, Azman memaklumkan masalah itu bukanlah satu krisis kerana berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kekurangan berlaku atas beberapa faktor namun pengurusan bekalan telur ayam masih berjalan dengan baik hasil perkongsian maklumat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Memang baru-baru ini, ada masalah bekalan telur ayam dilaporkan berlaku di beberapa kawasan namun siasatan mendapati ia disebabkan masalah teknikal.

"Contohnya penghantaran bekalan yang lambat dan pesanan tidak dibuat pada masa sepatutnya secara on time.

"Namun masalah yang berlaku dapat diselesaikan secepat mungkin contohnya aduan kehabisan telur ayam pada sebelah pagi dan bekalan terus dihantar pada sebelah petang atau keesokan harinya, jadi ia tidak berlaku lama," katanya.