Mengundi pada PRU jadi fardu ain: Hadi Awang

Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan sempena Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millennium Lubuk Merbau pada Sabtu.
Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan sempena Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millennium Lubuk Merbau pada Sabtu.
A
A
A

PADANG RENGAS - Pas menyifatkan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum sebagai fardu ain yang perlu dipenuhi oleh umat Islam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengundi menjadi fardu ain kerana suasana orang Islam dalam keadaan bahaya dan terancam.

Menurutnya, setiap umat Islam wajar memahami tanggungjawab untuk mempertahankan Islam menerusi pilihan raya.

"Tanggungjawab kita menyampaikan kepada anak-anak muda umur 18 tahun yang baharu nak mengundi ini, kena tunaikan kewajipan mengundi. Kewajipan politik ini, dalam suasana orang Islam dalam bahaya, fardu ain, bukan fardu kifayah lagi. Kalau ada ulama nak cabar, saya sanggup lawan.

"Baca kitab-kitab fikah dalam bab jihad, kita memilih jihad secara damai, kita tak mahu cara keras, pilih cara damai. Ulama mengatakan bila Islam sudah berdaulat memerintah, jihad fardu kifayah. Bila Islam jatuh, dalam bahaya jihad jadi fardu ain," katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millennium Lubuk Merbau pada Sabtu.

Abdul Hadi (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Razman ketika menyempurnakan Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millennium Lubuk Merbau pada Sabtu.
Abdul Hadi (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Razman ketika menyempurnakan Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millennium Lubuk Merbau pada Sabtu.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Timbalannya, Mohd Akmal Kamarudin merangkap pengarah program.

Sementara itu, Abdul Hadi menegaskan, Pas memilih pendekatan secara damai untuk mempertahankan Islam menerusi pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

"Kita pilih pendekatan damai, bukan perang macam negara Arab. Saya mendedahkan kepada rakan-rakan Arab dalam persidangan antarabangsa yang saya selalu hadir. Saya tegaskan pendekatan dalam negeri orang Islam sendiri mesti pendekatan berdepan cara damai, bukan cara perang.

"Kalau pilih cara perang, kita berlawan sesama sendiri. Kita diguna oleh orang, elakkan ini. Dengan sebab itulah Pas memilih agenda perpaduan ummah mengajak orang Melayu Islam bersatu. Jangan berlawan sesama sendiri dalam pilihan raya. Jatuhkan parti yang terang-terang merosakkan kita," tegas beliau.