Perlu runding dengan PN sebelum tetap tarikh PRU15

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendirian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih belum sesuai untuk diadakan dalam masa terdekat ini.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masih banyak perkara penting perlu diberikan perhatian oleh kerajaan berbanding isu pilihan raya.

“Seboleh mungkin (pada saya) PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat ini kerana ia bukan lagi masa yang sesuai.

“(Apabila) sudah sampai kita adakan PRU15 (sekiranya) tidak ada banjir dan macam-macam masalah maka, PRU15 boleh diadakan.

“Apa yang perlu menjadi keutamaan ketika ini adalah untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara. Saya juga telah maklumkan pendirian saya ini kepada jemaah menteri daripada Bersatu dan PN untuk di bawa ke mesyuarat kabinet,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun keenam Bersatu di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian pemimpin UMNO yang mahukan supaya PRU15 diadakan segera.

Muhyiddin dalam masa sama turut menegaskan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob perlu berunding dengan Perikatan Nasional (PN) sebelum menetapkan tarikh PRU15.

Ini kerana katanya, perkara itu terkandung dalam perjanjian antara PN dengan Ismail Sabri ketika membentuk kerajaan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos tahun lalu selepas Muhyiddin meletak jawatan berikutan hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.