Agih projek kerajaan secara undian: Persatuan kontraktor

Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F gesa kerajaan laksana agihan secara undian bagi semua projek kepada kontraktor dalam Bajet 2023. Gambar kecil: Tukiman
Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F gesa kerajaan laksana agihan secara undian bagi semua projek kepada kontraktor dalam Bajet 2023. Gambar kecil: Tukiman
A
A
A

SERI ISKANDAR - Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) menggesa kerajaan melaksanakan agihan secara undian bagi semua projek kepada kontraktor dalam Bajet 2023.

Presiden Perkobf, Tukiman Radion berkata, perkara itu penting bagi memastikan pengagihan projek-projek kerajaan dibuat secara telus serta dilaksanakan lebih ramai kontraktor berkelayakan.

Menurutnya, ketika ini hanya sebahagian projek-projek kerajaan diberikan secara undian atau tender terbuka kepada kontraktor kelas F.

"Saya diberitahu oleh ramai ahli bahawa pihak pemberi projek walaupun undian itu dibuat tetapi masih ada projek-projek dilepaskan untuk undian.

"Contohnya kalau ada 100 projek, mereka hanya beri 40, 50 projek secara undian, selebihnya mereka simpan untuk diberi secara bagaimana kita tidak tahu.

"Jadi itulah kita harap, untuk ketelusan dan mengelak gejala rasuah, pihak kerajaan kena pastikan semua projek yang diagihkan kepada jabatan atau pun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberikan secara undian," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-2 Koperasi Perkobf Perak Berhad (Kopera) di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Tukiman (kanan) menerima cenderahati daripada Mohd Yusof ketika hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-2 Koperasi Perkobf Perak Berhad (Kopera) di sebuah hotel di Seri Iskandar pada Sabtu.
Tukiman (kanan) menerima cenderahati daripada Mohd Yusof ketika hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-2 Koperasi Perkobf Perak Berhad (Kopera) di sebuah hotel di Seri Iskandar pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak, Meor Mohammad Shariffudin Meor Yahya; Pengerusi Kopera, Mohd Yusof Ibrahim dan Yang Dipertua Perkobf Perak, Khairul Arifin Sabri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tukiman berharap bagi Bajet 2023, jumlah peruntukan bagi projek-projek yang akan dilaksanakan oleh kontraktor Kelas F itu ditingkatkan sekali ganda kepada RM8 bilion berbanding jumlah sebelum ini.

Menurutnya, permintaan tersebut selaras dengan keadaan semasa yang memperlihatkan pertambahan jumlah kontraktor bumiputera bagi kelas tersebut.

"Kalau dahulunya hanya 26,000 sekarang ini mencecah 50,000 untuk kontraktor G1 bumiputera yang boleh melaksana projek-projek kerajaan.

"Ada juga kami berbincang dengan pihak Kementerian Kewangan dan kita amat berharap dan meminta agar bajet untuk kontraktor kecil ini pada tahun hadapan supaya digandakan.

"Ini adalah untuk memastikan ramai kontraktor kecil ini yang dapat projek dan memulihkan keadaan ekonomi kontraktor itu sendiri serta membantu negara membangun semula dalam bidang binaan dan ekonomi," katanya.

Jelas Tukiman, sehingga kini seramai lebih 10,000 kontraktor yang berdaftar dengan Perkobf dan Selangor mempunyai jumlah keahlian paling ramai diikuti Perak dan Johor.