Operasi tembak gagak di 15 lokasi, 68 penembak terlibat

Seramai 68 penembak berlesen dari seluruh negara akan terlibat dengan OPS CroSS MBSP Edisi 2, pada Sabtu.
Seramai 68 penembak berlesen dari seluruh negara akan terlibat dengan OPS CroSS MBSP Edisi 2, pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengenal pasti 15 lokasi 'hotspot' di sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang akan terlibat Operasi Crow Sharpshooter (OPS CroSS) MBSP Edisi 2, pada Sabtu ini.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad berkata, aktiviti menembak gagak itu bermula dari jam 7.30 pagi sehingga 8 malam dengan melibatkan penyertaan seramai 68 orang penembak berlesen dari seluruh negara.

Menurutnya, antara kawasan terlibat ialah di Pantai Robina yang akan ditutup untuk orang awam; Taman Selat, Taman Bagan Lallang dan Taman Carissa Villa, Jalan Nyior Sebatang serta Pekan Kepala Batas.

"Operasi sama turut dilakukan di Jalan Habour Place, Bandar Putra Bertam dan Bertam Perdana, Taman Selayang Indah,Taman Bagan dan sekitar Bagan Ajam.

"Selain itu melibatkan Taman Teluk Air Tawar, Jalan Kampung Gajah, Padang Menora, Taman Perkasa dan Jalan Bagan Luar,"katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.

Azhar berkata, untuk eselamatan awam, MBSP menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan syarat-syarat khusus untuk dipatuhi peserta pada setiap masa.

Katanya, pasukan-pasukan khas yang terdiri daripada pegawai MBSP dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan sepenuh masa di lokasi-lokasi terlibat dan keseluruhan Seberang Perai secara am bagi memastikan operasi berjalan lancar.

"MBSP menasihatkan penduduk yang tinggal atau berada berhampiran lokasi-lokasi terbabit sentiasa berhati-hati, mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan dikeluarkan dari masa ke semasa sepanjang waktu operasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Azhar berkata, atas nasihat Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, MBSP akan melaksanakan penutupan sementara kawasan Pantai Robina kepada orang awam pada 24 September mulai jam 3 petang sehingga jam 8 malam bagi menjaga keselamatan awam serta memberi ruang untuk operasi dijalankan dengan lancar.

Sebarang pertanyaan, isu atau aduan sepanjang operasi dijalankan boleh diajukan menerusi MBSP call centre di talian 04-2696969 (7.30 pagi hingga 5.30 petang) atau 1-800-88-6777.