'Saya boleh dituduh tembak kaki sendiri bila takut bersuara' - Puad

Laporan Sinar Harian Rabu lalu
Laporan Sinar Harian Rabu lalu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menafikan tindakannya menegur Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada Khamis seperti 'menembak di kaki sendiri'.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu yang mempertahankan kenyataannya sebelum ini menjelaskan, apa yang dilakukan adalah menegur untuk kebaikan selain bersikap realistik.

"Saya dituduh tembak kaki sendiri. Apakah meminta Rafizi mengemukakan formula yang realistik dan luar biasa dianggap tembak kaki sendiri?

"Apakah mendesak menteri supaya 'perform' dianggap tembak kaki sendiri? Apa salahnya Rafizi ditegur? Kalau dia luar biasa, Kerajaan Perpaduan tambah kukuh," katanya menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya pada Sabtu.

Puad pada Khamis mengecam Menteri Ekonomi itu kerana gagal mengemukakan sebarang langkah signifikan untuk memulihkan ekonomi selain menyindirnya sebagai banyak sangat formula.

Puad berkata, seseorang menteri mesti luar biasa untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan hari ini dan apabila menjadi menteri tidak boleh biasa-biasa sahaja, sebaliknya perlu luar biasa.

Mengulas kritikan tersebut, Rafizi mengingatkan pemimpin UMNO agar mengelakkan diri daripada membuat ulasan yang hanya akan menjauhkan penyokong Pakatan Harapan (PH) daripada mereka.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki menegur tindakan Puad menyerang sesama anggota dan pemimpin kerajaan umpama 'menembak kaki sendiri'.

Mengulas lanjut, Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mempersoalkan apa yang dimaksudkan dengan menembak di kaki sendiri.

"Apa maksud tembak kaki sendiri. Tidak boleh dikritik? Tidak boleh ditegur? Tidak boleh beri pandangan? Tugas saya bukan menghasut. Saya tidak ambil pun tugas lama Rafizi.

"Tembak kaki sendiri ialah bila menteri tidak 'perform', gagal buat benda luar biasa dan formulanya tidak boleh dipakai. Itu lemahkan kerajaan.

"Saya boleh dituduh tembak kaki sendiri bila takut bersuara dan kelemahan dibiarkan berleluasa. Sebab itu saya lain daripada yang lain," jelas beliau.