Bob Lokman meninggal dunia

Bob Lokman
Bob Lokman
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pelakon, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 58, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Penulis lirik lagu tersohor zaman 80 dan 90-an antaranya Isabella, itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 1 tengah hari.

Ibu tirinya, Norma Mohd Rani, 62, berkata, Bob Lokman tidak dapat tidur dan mengadu sakit serta gelisah pada jam 3 pagi.

“Isterinya menelefon ahli keluarga memberitahu dia sakit dan tidak dapat tidur.

“Ahli keluarga ke rumahnya dan memujuk untuk membawa Bob Lokman ke hospital namun dia enggan sebelum menghembuskan nafas terhakhirnya di sisi keluarga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Norma menyifatkan pemerigian Allahyarham pada hari Jumaat sesuatu yang sangat baik dan arwah tidak menunjukkan banyak perubahan sebelum pergi buat selamanya.

“Dia ceria seperti biasa. Cuma penyakit jantung dan keadaan kesihatannya semakin merosot sejak Aidilfitri lalu.

“Dia sudah tidak lagi berjalan jauh kerana kerap memerlukan bantuan oksigen sekirannya banyak bergerak dan banyak meluangkan masa bersama keluarga sebelum meninggal dunia,” katanya.

Bob Lokman adalah cicit kepada seorang ulama terkenal di Kelantan, Tok Kenali (1870 – 1933).

Artikel Berkaitan:

Lebih 40 lagu ciptaan Bob Lokman termasuk Taman Rashidah Utama nyanyian kumpulan Wing, Pada Syurga Di Wajahmu (Datuk Nash) dan Rendang Tak Berbuah (Datuk Hattan).

Menurut Norma, jenazah Allahyarham Bob Lokman dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Kenali, Kubang Kerian selepas solat Asar.

“Bob Lokman memang menghidap sakit jantung dan bergantung pada alat bantuan iaitu Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC) yang dipasang pada tahun 2021.

“Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak berusia lapan hingga 27 tahun,” katanya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.