[VIDEO] Pemandu lori dipenjara 14 hari, denda RM15,000 beri rasuah

Tertuduh (tengah) dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM15,000 atas kesalahan rasuah 10 tahun lepas.
Tertuduh (tengah) dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM15,000 atas kesalahan rasuah 10 tahun lepas.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemandu lori dihukum penjara 14 hari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah memberi rasuah kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan 10 tahun lepas.

Tertuduh, Chu Tuan Kang, 37, seorang bapa tunggal dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memberi suapan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada seorang Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri Sembilan.

Ia sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel bersubsidi tanpa permit dan dokumentasi yang sah, yang juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah Stesen Minyak N.R Talang, Bandar Baru Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 20 Mei 2012.

Oleh demikian tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Roshamshul Roslan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bermula tarikh jatuh hukum pada Jumaat dan denda sebanyak RM15,000.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, boleh dipenjara lima bulan.

Mahkamah turut menetapkan wang tunai RM3,000 milik tertuduh yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilucuthak kepada kerajaan Malaysia melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM.