PRK Rantau: Calon Bebas dakwa BN, PH beri 'amaran'

Calon Bebas PRK DUN Rantau, Malarvizhi Rajaram ketika melakukan walkbout di Kg. Baru Linsum hari ini. -Foto Sinar Harian/ADAM AMIR HAMZAH
A
A

SEREMBAN - Memasuki hari kelapan kempen, calon Bebas, R Malar mendakwa pernah mendapat 'amaran' sebelum menembusi kawasan kubu kuat BN dan PH.

Menurut Malar, bagi kubu BN dia dinasihatkan untuk tidak memasuki kawasan tersebut kerana boleh mengundang 'bahaya'.

"Tapi saya akan masuk juga kerana ini satu tanggungjawab buat saya. Saya perlu memberikan risalah kempen kepada semua penduduk.

"Bagaimanapun, saya kagum kerana penduduk memberi sambutan mesra dan mereka turut mendoakan kejayaan saya. Malah, mereka langsung tidak menganggap saya seperti orang luar," katanya kepada media selepas walkabout di Kampung Baru Linsum di sini, hari ini.

Calon Bebas PRK DUN Rantau, Malarvizhi Rajaram -Foto Sinar Harian/ADAM AMIR HAMZAH
Calon Bebas PRK DUN Rantau, Malarvizhi Rajaram -Foto Sinar Harian/ADAM AMIR HAMZAH

Sementara itu, katanya, sebelum berkempen di kubu kuat PH dia pernah disarankan membuat laporan polis bagi tujuan keselamatan dirinya.

"Memang saya tidak begitu selesa masuk kawasan mereka kerana ada sedikit provokasi. Tetapi saya tidak membuat laporan polis kerana ia akan mengambil masa. Lebih baik masa yang ada saya gunakan untuk edar risalah kempen dan bertemu pengundi," katanya.

Berkongsi perubahan dialaminya selepas menjadi calon, Malar mengakui dia tidak dapat tidur lena.

"Selepas penamaan calon, baru saya sedar rupanya PRK ini bukan perkara kecil. Ia membuatkan saya tidak cukup tidur. Cuma sejak dua hari lalu saja saya dapat tidur nyenyak tetapi masih bangun awal untuk menguruskan hal kempen," katanya.