Sultan Nazrin seru murabbi tampil gemakan mesej perangi rasuah

Sultan Nazrin (tengah) berkenan mencemar duli melawat Karangkraf Mall selepas Majlis Pelancaran Buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transfomasi Moral-Etika pada Khamis. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Sultan Nazrin (tengah) berkenan mencemar duli melawat Karangkraf Mall selepas Majlis Pelancaran Buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transfomasi Moral-Etika pada Khamis. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru lebih ramai murabbi berani tampil ke hadapan untuk menggemakan mesej memerangi rasuah ketika Malaysia menghadapi mudarat akibat perlakuan itu.

Baginda bertitah, peranan para murabbi itu amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian dan moral dalam kalangan masyarakat.

"Para murabbi perlu menegaskan pentingnya ummah memiliki sifat-sifat ikhlas kerana ummah yang ikhlas itu, tidak akan dapat didampingi atau dipengaruhi oleh Iblis," titah baginda ketika melancarkan buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika di Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Khamis.

Sultan Nazrin terdahulu menjelaskan, manusia hendaklah diinsafkan dengan kisah yang dijadikan pengajaran oleh ALLAH.

"Iblis memilih untuk menyesatkan manusia melalui instrumen imbuhan berbentuk kuasa. Hari ini lebih ramai manusia yang telah disesatkan dengan imbuhan keduniaan berbentuk kuasa dan kekayaan.

"Manusia tanpa sedar, tanpa silu, tanpa malu, tanpa khuatir akan kebarangkalian telah tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik, kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan,"titah baginda.

Sultan Nazrin (kiri) berkenan mencemar duli melawat Karangkraf Mall selepas Majlis Pelancaran Buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transfomasi Moral-Etika pada Khamis. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Sultan Nazrin (kiri) berkenan mencemar duli melawat Karangkraf Mall selepas Majlis Pelancaran Buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transfomasi Moral-Etika pada Khamis. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Sultan Nazrin menambah, manusia mula mendewakan manusia lain dan bersedia menghambakan diri, menggadai prinsip serta menjual maruah dan harga diri kepada manusia lain kerana wang, kuasa, pangkat dan jawatan.

Artikel Berkaitan:

Malahan, baginda bertitah, telah ada manusia yang sanggup bersekongkol dan bersubahat melakukan kemungkaran serta tergamak berbohong, kerana lupa bahawa punca rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan datangnya daripada ALLAH.

"Rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan sebenarnya ialah anugerah dan juga ujian daripada Ilahi. Sedarilah! Sumber kuasa yang diperoleh melalui sogokan belum terjamin dikembari dengan kesetiaan. Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikotakan, malah begitu cepat bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam.

"Watak sebenar insan akan terpamer apabila telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyap budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak,"jelas baginda lagi.

Tegas baginda, disebabkan iblis berjaya menggelincirkan akidah manusia melalui instrumen kebendaan duniawi berbentuk kuasa dan kemewahan, maka benteng pertahanan manusia hendaklah dibina berpayungkan naungan Ilahi.