[TITAH PENUH] 'Rasuah memusnahkan negara bangsa' - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin bertitah ketika menyempurnakan pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika karya tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN

A
A
A

SHAH ALAM - [TITAH PENUH] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan rasuah boleh memusnahkan sesebuah negara bangsa sekiranya tidak ada kesungguhan untuk membanterasnya hingga perlakuan itu akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya.

Baginda bertitah, rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

"Rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.

"Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan," titah baginda.