Rasuah musnahkan negara bangsa, jika tidak banteras

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB & ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB & ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan rasuah boleh memusnahkan sesebuah negara bangsa sekiranya tidak ada kesungguhan untuk membanterasnya hingga perlakuan itu akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya.

Baginda bertitah, rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

"Rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.

"Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan," titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika menyempurnakan pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Khamis.

Buku karya tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan itu diterbitkan EMIR Research dan pelancarannya dibarakan Sinar Harian yang turut menyiarkan acara itu secara langsung di semua platform digitalnya selain disiarkan Astro Awani.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf merangkap Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Sultan Nazrin menjelaskan, kekayaan negara yang disalah guna membuatkan hasil mahsul negara lesap seterusnya mengakibatkan kemunduran terus melanda dan kemiskinan terus merebak.

Artikel Berkaitan:

"Sesuatu penyakit akan dapat dirawat jika pesakit menyedari badannya berpenyakit, mengakui dia menghidap penyakit, bersedia membenarkan tubuh badannya diuji, diperiksa dan dinilai, terbuka menerima nasihat, teguran dan preskripsi, serta lebih utama, bersedia menerima rawatan walaupun terpaksa mengambil ubat yang pahit.

"Rasuah ialah penyakit dalam masyarakat, penyakit bersifat barah, penyakit yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi," titah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin menambah, masyarakat wajib bersifat berani mengakui realiti sedang berlakunya ketika ini bahawa amalan rasuah di negara ini berada pada skala yang membahayakan.

Baginda bertitah, ia berdasarkan teguran berulang kali yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Account Committee).

"Daripada 180 buah negara yang dilakukan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021. Kini, Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua per tiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

"Kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan gajah rasuah di hadapan mata," tegas Sultan Nazrin.

Titah Sultan Nazrin, di samping itu, bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

"Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.

"Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Sifat responsif, segera melakukan pembetulan bukan sahaja dapat membendung salah laku tadbir urus, malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan," titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, penilaian keadaan rasuah di negara ini juga wajib dilakukan secara jujur iaitu degan ikhlas dan objektif, secara fakta yang sekali gus akan menjadi bukti bahawa negara sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah.