Majoriti ahli Parlimen sokong RUU kawalan produk tembakau

PUTRAJAYA, 22 Sept -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika temu bual khas sempena setahun pencapaian beliau menerajui Kementerian Kesihatan di kementeriannya hari ini.
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
PUTRAJAYA, 22 Sept -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika temu bual khas sempena setahun pencapaian beliau menerajui Kementerian Kesihatan di kementeriannya hari ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Majoriti ahli Parlimen telah menyatakan persetujuan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, surat yang ditulis oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga memaklumkan keseluruhan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyokong RUU itu yang membawa agenda Generasi Penamat (GEG).

"Cuma mereka minta supaya dibuat beberapa pindaan untuk memperjelaskan kuasa penguat kuasa, soal denda dan sebagainya.

"Kebanyakan isu ini sudah diselesaikan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen," katanya menerusi sidang akhbar sempena setahun perkhidmatannya sebagai Menteri Kesihatan di sini pada Rabu.

Menurutnya, RUU yang sudah diperkemaskan itu akan dibawa kepada mesyuarat JPK minggu depan untuk dipersetujui.

"Saya yakin RUU ini akan diluluskan dalam sidang akan datang," katanya.

Beliau berkata, Dewan Rakyat terikat dengan usul tersebut meskipun berkemungkinan tempoh sidang Parlimen akan disingkatkan tatkala banyak spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diperkatakan.

"Dalam usul yang saya bawa, usul yang dipersetujui oleh Dewan Rakyat bahawa RUU ini dirujuk kepada JPK dan akan dibawa kepada mesyuarat akan datang. Jadi Dewan terikat dengan usul itu.

Artikel Berkaitan:

"Ia perlu dibawa semula kerana usul itu adalah usul Dewan Rakyat. Ia bermaksud, selepas diselesaikan dalam JPK, usul itu mesti dibawa balik kepada sidang yang akan datang," katanya.

Pada 2 Ogos, Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan, ketika usul itu pada peringkat bacaan kedua.

RUU itu antara lain bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.