Sisa air larut resap dikesan dilepaskan ke paya bakau

Terdapat aliran air berwarna hitam memasuki kawasan paya bakau bersebelahan tapak pelupusan sampah.
Terdapat aliran air berwarna hitam memasuki kawasan paya bakau bersebelahan tapak pelupusan sampah.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengesan pelepasan air larut resapan (leachate) dari kolam takungan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPS) Pulau Burung, Fasa 1 pada Rabu.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kejadian pelepasan itu disedari oleh penduduk sekitar yang mendapati terdapat aliran air berwarna hitam memasuki kawasan paya bakau bersebelahan dan seterusnya memasuki laut.

Menurutnya, sebaik menerima laporan kejadian itu daripada penduduk, pasukan JAS Pulau Pinang bergegas ke tapak berkenaan bagi menjalankan siasatan.

"Pelepasan ini dipercayai telah berlaku beberapa jam sebelum aduan diterima.

"Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa batang paip telah dipasang oleh pihak tertentu bagi tujuan menyalurkan sisa air larut resap (leachate) ke dalam kawasan rizab paya bakau," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pegawai JAS melakukan siasatan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPS) Pulau Burung.
Pegawai JAS melakukan siasatan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPS) Pulau Burung.

Sharifah Zakiah berkata, JAS Pulau Pinang telah membuat pemeriksaan fizikal ditapak, membuat penerbangan dron, membuat persampelan di beberapa lokasi dan mengambil rakaman percakapan beberapa saksi.

Katanya, sampel-sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis selain satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Nibong Tebal untuk siasatan sama ada terdapat unsur khianat oleh pihak tertentu dalam kejadian ini.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan maklumat awal dan keterangan saksi-saksi, pelepasan air larut resapan ini kemungkinan dibuat secara sengaja dan dirancang lebih awal kerana batang-batang paip telah dibawa masuk, dipasang dan dikambuskan.

"Kita akan mengeluarkan satu notis arahan kepada pemilik tapak iaitu pihak berkuasa tempatan berkaitan untuk meningkatkan pemantauan keselamatan serta kawalan pencemaran ditapak," katanya.

Beliau berkata, mana-mana premis yang tertakluk di bawah Perintah EIA dan didapati gagal mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 boleh dikenakan Arahan Berhenti Kerja.