Seleweng dana: Siasatan kes bekas Adun hampir selesai

SPRM
SPRM
A
A
A

ALOR SETAR - Siasatan terhadap seorang bekas Adun BN di Kedah yang didakwa menyeleweng dana khas Menteri Besar Kedah tahun lalu, hampir selesai.

Pengarah SPRM negeri Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, kertas siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 itu akan dihantar kepada pihak Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.

“Segalanya terletak kepada keputusan peguam negara sama ada akan membuat pertuduhan ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018 peringkat negeri di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Ogos lalu, bekas Adun berusia 60-an itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana khas menteri besar berjumlah RM30,000 yang dikatakan mahu digunakan untuk satu program pada Februari tahun lepas.

Difahamkan setelah permohonan dana itu diluluskan, wang itu tidak digunakan untuk program berkenaan.

Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, menurutnya, setakat tahun ini, sebanyak 41 kertas siasatan dibuka dan seramai 53 ditahan termasuk ahli politik, kakitangan swasta serta pegawai kerajaan melibatkan beberapa kes antaranya Seksyen 16, 17 dan 18 Akta SPRM.

Mohd Fauzi turut menyeru orang ramai supaya menyertai Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YAM) bagi membantu mengekang kegiatan tidak bermoral khususnya rasuah dalam kalangan masyarakat, di samping dapat memudahkan urusan penyaluran maklumat berhubung perkara itu kepada SPRM. - Bernama