Hibah TH: Selari dengan keadaan ekonomi TH

Tabung Haji (Gambar kecil Mohd Daud)
Tabung Haji (Gambar kecil Mohd Daud)
A
A
A

SHAH ALAM - Agihan hibah Tabung Haji (TH) bagi tahun 2018 sebanyak 1.25 peratus bukan satu jumlah yang kecil jika melihat kepada realiti ekonomi istitusi kewangan Islam itu hari ini.

Pakar Kewangan Islam, Antarabangsa dan Usahawan Syariah, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berpendapat, jumlah agihan itu cukup besar pada ketika ini dan TH juga memerlukan dana untuk beroperasi pada masa hadapan.

Katanya, dari segi keuntungan boleh agih iaitu sebanyak RM2 bilion, TH juga memerlukan kewangan yang cukup untuk merancakkan pelaburan bagi menambahkan lagi pendapatan pada masa hadapan.

“Sebenarnya kalau orang ramai faham, 1.25 peratus itu satu jumlah yang cukup besar kerana TH juga memerlukan dana untuk beroperasi.

“Perlu disebut juga bahawa jumlah keseluruhan aset setelah ditolak liabiliti sebelum hibah hanyalah RM1 bilion.

"TH perlu mendapatkan sedikit kecairan bagi mewujudkan dana untuk melakukan projek-projek pada masa hadapan yang lebih berdaya saing,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Hibah TH: Mengapa, kenapa dan bagaimana?

Beliau berkata, bagi merancakkan kembali ekonomi institusi itu, pengurusan TH perlu lebih bijaksana dengan membuat pelaburan di luar negara yang mana boleh memberikan pulangan lebih tinggi kerana pendeposit semestinya mengharapkan jumlah hibah lebih baik tahun depan.

Artikel Berkaitan:

“TH juga perlu fokus kepada setiap aset RM1 mereka agar dapat dijana kepada RM1.10, RM1.20, RM1.30 untuk memberi pulangan yang kompetitif," katanya.