Op Carilamat nelayan hilang ditamatkan

Seorang nelayan masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Parit Hailam.
Seorang nelayan masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Parit Hailam.
A
A
A

BATU PAHAT - Selepas enam hari operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) seorang nelayan yang masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Parit Hailam, di sini, pasukan menyelamat mengambil keputusan menghentikan operasi berkenaan pada jam 5 petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, keputusan tersebut selepas tiada sebarang penemuan baharu berkaitan mangsa yang hilang meskipun pelbagai usaha pencarian dilakukan pasukan mencari dan menyelamat serta komuniti maritim setempat.

"Fokus pencarian hari ini tertumpu pada bot yang tenggelam melibatkan pencarian pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) namun mangsa, Chia Hock Neng, 60, gagal ditemukan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, Mohd Haniff berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan sentiasa membuat pemantauan serta hebahan kepada komuniti maritim setempat supaya memaklumkan sekiranya terdapat tanda-tanda penemuan mangsa.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Rabu lepas, sebuah bot nelayan dengan empat kru dilaporkan karam akibat cuaca buruk dan ombak besar kira-kira 5 petang, mengakibatkan Te Chia Rong, 38, dan Chia Hock Neng hilang, manakala Te Chia Haur, 40, dan Tee Kian Muar, 33, terselamat.

Pada Isnin, dilaporkan Chia Rong ditemukan mati dengan mayatnya tersangkut pada jaring pukat. - Bernama

Artikel Berkaitan: