Bot karam: Dua nelayan masih hilang

Dua nelayan masih hilang manakala dua lagi selamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Parit Hailam.
Dua nelayan masih hilang manakala dua lagi selamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Parit Hailam.
A
A
A

BATU PAHAT - Dua nelayan masih hilang manakala dua lagi selamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Parit Hailam, dekat sini petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) diaktifkan pada 5 petang selepas mendapat makluman daripada orang awam mengenai kejadian itu.

"Bot itu yang keluar memukat ikan dikendalikan empat kru warga tempatan dipercayai bertembung dengan ombak besar menyebabkannya terbalik dan karam di kedudukan kira-kira 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Te Chia Rong, 38, dan Chia Hock Heng, 60, hilang dipercayai akibat tidak sempat keluar dari bot kerana sedang tidur ketika kejadian manakala Te Chia Haur, 40, dan Tee Kian Muar, 33, berjaya diselamatkan oleh nelayan lain yang berada berhampiran dengan lokasi.

"Chia Haur dan Chia Rong ialah adik-beradik", katanya.

Mohd Haniff berkata, bot Kilat 47 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi dan mendapati bot nelayan terbabit tidak kelihatan kerana telah tenggelam sepenuhnya.

Beliau berkata mangsa yang selamat dibawa pulang ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut beliau, Op Carilamat diteruskan hari ini dengan tambahan aset dan anggota daripada APMM serta dibantu oleh Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia. - Bernama.

Artikel Berkaitan: