Tiada lagi 'muntahan' gunung berapi lumpur

Anggota bomba dari BBP Lahad Datu meninjau lokasi kejadian gunung berapi lumpur yang meletus di Taman Hidupan Liar Tabin Lahad Datu.
Anggota bomba dari BBP Lahad Datu meninjau lokasi kejadian gunung berapi lumpur yang meletus di Taman Hidupan Liar Tabin Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Tiada lagi pergerakan muntahan lumpur di kawasan gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, dekat sini, selepas meletus pada Ahad lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid bagaimanapun berkata, orang ramai masih tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sebagai langkah keselamatan berikutan keadaan lumpur yang masih lembut di dalamnya.

"Berikutan video letusan gunung berapi lumpur yang tular di media sosial sejak malam Ahad lalu, BBP Lahad Datu telah membuat tinjauan di lokasi kejadian bersama pegawai Jabatan Perhutanan Lahad Datu dan Jabatan Mineral Geosains (JMG) Kota Kinabalu.

"Hasil pemerhatian mendapati tiada lagi pergerakan yang berlaku di kawasan muntahan lumpur itu. Namun terdapat risiko boleh terperangkap atau melekat dalam lumpur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau turut berkata, pihak JMG yang turut di lokasi memaklumkan bahawa kejadian itu pernah direkodkan berlaku pada 2015 dan April 2019.

"Muntahan lumpur yang berlaku itu pernah berlaku di tempat yang sama dan pada kali ini merupakan yang terbesar berbanding sebelum ini.

"Pihak GMS turut mengambil sampel dan data penting untuk digunakan dalam kajian berkenaan," katanya.

Sebelum itu, Sumsoa memaklumkan bahawa beliau bersama tiga anggotanya mengambil masa kira-kira 90 minit perjalanan ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Isnin melaporkan berlaku kejadian letusan gunung berapi lumpur setinggi hampir enam meter yang turut disaksikan pemandu pelancong bersama sekumpulan pelancong asing yang berada di lokasi kira-kira jam 10 pagi Ahad.

Kejadian itu sempat dirakam pemandu pelancong sebelum ditularkan di media sosial sejak malam Ahad.