Keluarga mangsa culik masih berharap keajaiban

Rosnazirah - Foto media sosial
Rosnazirah - Foto media sosial
A
A
A

KOTA BHARU - Keluarga mangsa culik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, masih berharap kejaiban agar wanita itu ditemui dalam keadaan selamat susulan kehilangannya sejak lapan hari lalu masih belum menemui petunjuk.

Adik wanita itu yang berusia 25 tahun berkata, keluarga besarnya tidak berhenti melakukan solat hajat dan berharap kakaknya pulang dengan selamat.

"Biarlah ALLAH rungkaikan semuanya dan tunjukkan kebenaran dengan segera.

"Sudah lapan hari kakak hilang dan kami tidak putus-putus berdoa supaya kakak selamat dan dijaga dalam keadaan baik," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Dia juga merayu netizen supaya tidak membuat tohmahan terhadap keluarganya sehingga pihak berkuasa membuat keputusan.

Dia juga memberitahu tidak mempunyai kekuatan untuk bekerja kerana terlalu teringatkan nasib dan makan minum kakaknya.

Bagaimanapun katanya, mujur pihak syarikat dan ketuanya memahami keadaannya walaupun banyak tugasan tertunggak.

"Kakak sangat takut mendengar kes jenayah yang dilaporkan setiap hari di media sosial tetapi perkara itu berlaku ke atas dirinya. Bagaimana keadaannya...itu yang saya fikirkan,"

Artikel Berkaitan:

Adik mangsa itu juga mengakui terpaksa menguatkan diri kerana berusaha demi menjaga keselamatan dan kesihatan ibu bapa yang terlalu sedih mengenangkan mangsa.

Tambahnya, selepas lebih seminggu kehilangan kakaknya, banyak media yang memanipulasikan keadaan sebenar sehingga menimbulkan situasi tidak tenang dalam keluarga.

Dia juga meminta netizen tidak mengecam dan menambah fakta kerana boleh menjejaskan siasatan dan keselamatan keluarga.

"Tohmahan itu tidak elok untuk psikologi anak saudara saya yang masih lagi trauma dengan perkara yang berlaku. Setiap hari dia menangis bertanyakan ibunya.

"Mereka juga perlu fikir sebagai pasangan ibu bapa yang mempunyai anak. Bagaimana perasaan anak yang berdepan trauma meneruskan kehidupan akibat kecaman dan andaian negatif.

"Jangan tohmah kami dan memutar belit isu ini. Tiada apa yang memusykilkan kerana kami sendiri juga masih menanti siasatan polis," katanya.

Dalam pada itu ujarnya, mereka sekeluarga tidak pernah memandang negatif terhadap abang iparnya sebaliknya sentiasa mengharapkan yang terbaik.

Dalam masa sama, dia turut mengharapkan rakyat Malaysia meneruskan doa supaya kakaknya dalam lindungan ALLAH SWT dan tugas pihak berkuasa dipermudahkan

"Hanya pada ALLAH SWT kami berserah," katanya.