Kelantan arah ketua jajahan kumpul data etnik Rohingya di semua daerah

Hilmi
Hilmi
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengarahkan semua ketua jajahan mengumpulkan data etnik Rohingya di seluruh daerah di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, langkah itu bagi mendapatkan gambaran jumlah sebenar kumpulan terbabit dan sebagai langkah persediaan atau penguatkuasaan dalam menangani sebarang isu membabitkan mereka.

“Setakat ini, data yang ada pada kami ialah di Tanah Merah dengan terdapat kira-kira 80 keluarga membabitkan lebih 300 etnik Rohingya tinggal di daerah itu.

“Kami bermesyuarat dan arahkan semua ketua jajahan di Pejabat Tanah dan Jajahan untuk mengumpulkan data jumlah Roghinya di setiap daerah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Sebelum ini, polis Kelantan melaporkan seramai 8,021 etnik Rohingya berada di negeri ini dan sentiasa dikawal bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

Hilmi berkata, operasi juga dibuat secara berkala bagi mengesan kesalahan yang membabitkan kumpulan itu di bawah bidang kuasa mereka.

Sebelum ini juga ladang sireh seluas lebih dua hektar yang didakwa diusahakan etnik Rohingya di Kampung Padang Guchil, Tanah Merah sejak beberapa tahun lalu disita pihaknya.

Ladang dipercayai disewa daripada pemilik tanah yang berada di luar Kelantan pada kadar RM600 hingga RM1,000 bagi setiap hektar dan melanggar syarat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, tidak wajar meletakkan isu Rohingya sebagai beban kepada kerajaan negeri semata-mata kerana isu berkenaan adalah isu kenegaraan yang membabitkan status dan pengurusan pelarian.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa yang terhad dalam menangani isu, kuasa kami tertakluk antaranya pelanggaran syarat tanah, binaan tanpa kelulusan serta pematuhan lesen perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan.

"Oleh itu, isu ini perlu ditangani secara bersama selaras dengan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!