Pengawal keselamatan maut dihempap pokok tumbang

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Gambar hiasan
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditungganginya dihempap pokok tumbang di Jalan Air Lanas menghala ke Gemang, Jeli pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.05 pagi sebelum sembilan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi dan tiba 13 minit kemudian.

"Mangsa dikenali sebagai Mohd Alia Sabri Mat Repin, 40, yang menunggang motosikal Honda EX5, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Adni berkata, anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong pokok berkenaan bagi mengeluarkan mangsa dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Operasi mengeluarkan mangsa selesai pada jam 8.21 pagi.

Sementara itu, seorang saksi Dr Qistina Hannan Johan berkata, ketika kejadian beliau sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Klinik Batu Melintang dan keretanya berada kira-kira lima meter di belakang motosikal mangsa.

"Mujurlah saya sempat menekan brek untuk mengelak daripada terlanggar pokok yang tumbang itu dan segera menghubungi pihak bomba,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala selepas topi keledar yang dipakainya tercabut dan terpelanting ke belakang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!