Islamofobia dapat perhatian di IPU

Raja Kamarul Bahrin (kanan) bersama wakil negara China pada sidang IPU.
Raja Kamarul Bahrin (kanan) bersama wakil negara China pada sidang IPU.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Isu Islamofobia mendapat perhatian dalam Mesyuarat Asean+3 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar apabila lima negara dari badan induk Inter Parlimentary Union (IPU) mengemukakan usul tergempar pada mesyuarat pertama IPU.

Empat dari usul tergempar itu melibatkan kezaliman ke atas minoriti termasuk rakyat Palestin, Uighur, Rohingya dan pembunuhan jemaah masjid di New Zealand dikemukakan wakil negara Maghribi, Indonesia, Kuwait, Belanda dan Turki.

Ketua delegasi Ahli Parlimen Malaysia ke sidang tersebut, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, ia menunjukkan kebanyakan ahli IPU termasuk bukan Islam melihat penindasan dan kezaliman ke atas minoriti semakin serius dan ketara.

“Jawatankuasa Kumpulan ASEAN+3 telah bersetuju mengesyorkan kelima-lima usul tergempar kepada jawatankuasa badan induk IPU untuk ditimbangkan penerimaan usul-usul tersebut memandangkan betapa seriusnya fenomena Islamofobia hari ini.

“Apa yang nyata walaupun hanya Malaysia, Indonesia dan Brunei mempunyai majoriti rakyat Islam berada dalam kumpulan ASEAN+3, negara bukan Islam lain dalam kumpulan ini juga menyokong penuh resolusi membela minoriti Islam yang teraniaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Kamarul Bahrin yang merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Malaysia melaporkan sokongan kumpulan Asean + 3 kepada jawatankuasa Asia dan Pacific dan resolusi itu diterima serta dibawa ke jawatankuasa utama induk IPU.

“Islamofobia makin menular dan peristiwa hitam di New Zealand telah membawa kesedaran baharu dan simpati kepada kaum minoriti yang perlu dilindungi dari penindasan berterusan.

“Semoga sidang IPU ke 140 yang akan berakhir pada 10 April membawa harapan serta kesedaran baharu untuk semua kaum minoriti Islam atau bukan Islam di seluruh dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat IPU ke 140 dihadiri oleh Ahli Parlimen dari 160 negara melibatkan 2,000 wakil dari seluruh dunia itu dipengerusikan oleh Malaysia.