X

Kindly register in order to view this article
!

Syarikat korek pasir tipu kerajaan negeri

Bukti bergambar sebuah syarikat korek pasir melakukan aktiviti bertentangan syarat permit apabila menjual pasir untuk kegunaan projek perumahan.
A
A

MELAKA - Sebuah syarikat pengorekan pasir laut di negeri ini didakwa melanggar syarat permit yang diberikan apabila didapati beroperasi di luar tempoh masa dibenarkan dan turut menjual pasir itu bagi kegunaan projek perumahan sekitar negeri ini.

Kegiatan itu dibangkitkan Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Norhizam Hassan Baktee selepas menerima beberapa aduan daripada orang ramai tentang kewujudan aktiviti berkenaan.

Difahamkan syarikat terbabit telah diberikan permit kelulusan mengorek pasir bagi aktiviti penambakan laut sejak November 2018 lalu namun telah disalahgunakan.

Menurutnya, aktiviti menyalahgunaan permit pengorekan pasir terbabit sudah berlaku sejak kira-kira enam bulan lalu malah intipan demi intipan telah dilakukan termasuk bukti bergambar.

Norhizam Hassan Baktee
Norhizam Hassan Baktee

"Ini bermakna selama tempoh itu syarikat terbabit telah bermain 'silap mata' dan didapati menipu kerajaan negeri kerana permit yang dikeluarkan adalah untuk kebenaran kerja-kerja pengorekan pasir bagi penambakan laut dan bukannya untuk projek perumahan.

"Tindakan ini juga dianggap menganiaya bakal pembeli rumah di projek perumahan terbabit apabila menggunakan pasir laut yang kita tahu ia tidak sesuai sebab akan mengakibatkan permukaan bangunan mudah retak," katanya.

Norhizam berkata demikian selepas mengetuai satu operasi intipan aktiviti berkenaan di sebuah premis di Tanjung Kling yang turut disertai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Bagaimanapun, jelas Norhizam, intipan berkenaan gagal apabila ia telah lebih awal dihidu pihak terbabit.

"Kita menerima aduan aktiviti ini dijalankan setiap hari dan sepanjang masa dalam tempoh 24 jam sedangkan permit operasi hanya membenarkan dari jam 7 pagi hingga 7 malam sahaja.

"Selain itu, aduan juga diterima mendapati ratusan lori keluar masuk di premis terlibat yang didakwa membawa keluar pasir ke sebuah tapak perumahan di negeri ini tanpa mengira masa," katanya.

Satu lagi bukti didakwa menunjukkan sebuah sebuah lori mengangkut pasir laut untuk dibawa ke sebuah tapak projek perumahan di negeri ini.
Satu lagi bukti didakwa menunjukkan sebuah sebuah lori mengangkut pasir laut untuk dibawa ke sebuah tapak projek perumahan di negeri ini.

Justeru, menurut Norhizam beliau telah mengarahkan satu tindakan diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan.

"Saya telah meminta MBMB melakukan periksaan menyeluruh di premis terbabit manakala PTG telah diminta untuk mengarahkan syarikat terbabit menghentikan sementara operasi mengorek pasir terbabit.

"Saya akan membawa perkara ini ke peringkat mesyuarat Exco kerajaan negeri bagi mencadangkan supaya projek ini dibatalkan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus