‘Ini pilihan terbaik'

 Ayub Rahmat
Ayub Rahmat
A
A
A

PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) mengumumkan menarik diri dari Sukma MSN 2022 selepas tindakan badan induk itu untuk menggantung kontinjen yang terpalit dalam isu doping mendapat bantahan.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat ketika mengesahkan perkara itu mengakui badan induk tersebut kecewa apabila insiden yang pernah berlaku di Sukma Perak 2018, kembali berulang membabitkan tiga atlet yang gagal saringan ujian doping.

“Saya ingin tegaskan pendirian PABM dalam isu doping ini adalah jelas apabila mesyuarat khas minggu lalu, semua atlet yang gagal ujian akan menyebabkan penglibatan kontinjen negeri terbabit dalam sukan angkat berat digantung.

“Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa perkara ini adalah jelas dan turut mendapat sokongan daripada semua pihak,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum ini PABM menerima laporan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) bahawa tiga atlet dari dua negeri gagal ujian doping, sebelum menyertai temasya tersebut.

Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 sebelum ini memutuskan saingan sukan angkat berat ditunda sehari kepada 20 September berbanding jadual asal yang bermula Isnin.

“Keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan dihadiri semua wakil Majlis Sukan Negeri,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.

Acara angkat berat yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya selama empat hari menawarkan sebanyak 16 pingat emas.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Ayub menyifatkan keputusan diambil badan induk tersebut merupakan keputusan tepat bagi menjamin masa depan sukan berkenaan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Jelasnya lagi, tujuan PABM hanya satu iaitu bagi memastikan tiada lagi atlet angkat berat terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.

“Kita tidak mahu pada akhirnya PABM juga yang akhirnya menjadi mangsa dipersalahkan. Pada mesyuarat bersama pengarah kejohanan, jawatankuasa tertinggi tidak melihat PABM sebagai rakan kongsi yang baik dari segi teknikal malah peranan PABM juga tidak diperlukan.

“Ini adalah pilihan terbaik dan PABM tidak lagi terlibat dalam Sukma 2022. Ia juga hak MSN sendiri untuk meneruskannya.

“MSN yang membuat keputusan. PABM selaku badan induk sukan ini bertanggungjawab dan daripada pihak kita telah selesai,” kata Ayub.