Peluang terbaik bukti kemampuan: Mukhairi

Mukhairi teruja menyertai skuad Harimau Malaya pada Kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai.
Mukhairi teruja menyertai skuad Harimau Malaya pada Kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai.
A
A
A

PEMAIN tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal teruja apabila diberi peluang untuk beraksi di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai bermula Khamis hingga 25 September ini.

Menurut Mukhairi, ini adalah masa terbaik buat dirinya untuk membuktikan kemampuan diri kepada pengendali dari Korea Selatan itu supaya dapat kekal bersama skuad Harimau Malaya.

“Alhamdulillah saya dapat bersama skuad kebangsaan kali ini dan inilah peluang terbaik untuk tunjukkan kemampuan diri. Saya gembira kerana bukan senang untuk dapat bermain di bawah jurulatih baharu dan peluang ini saya tidak akan sia-siakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Mukhairi yang merupakan ketua pasukan skuad B-23 ketika di bawah kendalian Brad Maloney telah beraksi dalam kejohanan Piala AFF B-23, Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23.

Pemain berusia 20 tahun itu juga berkata, pemilihan tiga kapten pasukan iaitu Dion Cools, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad adalah keputusan yang tepat oleh Pan-gon.

“Bagi saya Syafiq Ahmad sudah lama bermain bersama skuad kebangsaan, begitu juga Safawi. Dion (Cools) pula kita tahu mempunyai pengalaman yang cukup luas di Eropah dan ini akan membantu kami pemain muda tingkatkan prestasi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, setiap pemain bersedia untuk menghadapi kejohanan itu kerana mereka sudah serasi dan memahami taktikal serta percaturan yang dilakukan Pan-gon.

Pada perlawanan pembukaan, Malaysia akan menentang tuan rumah, Thailand pada 22 September yang mana sekiranya menang, mereka akan layak ke perlawanan akhir menentang sama ada Tajikistan atau Trinidad & Tabago.

Artikel Berkaitan: