Lima media kumpul suara rakyat

Antara wakil media dan firma penyelidikan yang hadir dalam pertemuan baru-baru ini bagi membincangkan pelaksanaan kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15.
Antara wakil media dan firma penyelidikan yang hadir dalam pertemuan baru-baru ini bagi membincangkan pelaksanaan kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15.
A
A
A

SHAH ALAM - Lima media perdana di dalam negara bersama tiga firma penyelidikan menjalinkan kerjasama menjalankan satu kaji selidik mega bagi mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kaji selidik bertajuk Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 dilaksanakan bermula hari ini sehingga 9 Oktober depan itu membabitkan Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.

Ketua Pegawai Pengisian The Star, Esther Ng berkata, kerjasama itu dilakukan bagi membawa suara rakyat akar umbi berkenaan isu dihadapi mereka sekali gus mengenal pasti harapan bersama masyarakat di dalam negara.

Katanya, dengan pembabitan lima syarikat media perdana di dalam negara yang masing-masing mempunyai kumpulan sasar tersendiri dan unik, ia dilihat mampu membantu memastikan agar kaji selidik itu mencapai kesemua lapisan masyarakat secara menyeluruh.

“Kita bekerjasama mengumpulkan kekuatan sumber yang dimiliki bagi memberi manfaat kepada semua. Jadi peranan kita sangat jelas iaitu memberikan suara kepada pembaca masing-masing.

“Saya percaya inisiatif kaji selidik ini merupakan sesuatu yang sangat unik dan ia mewakili apa yang pembaca Malaysia kita hasratkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman berkata, penggabungan lima organisasi media itu dilihat mewakili segenap lapisan masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa, usia, platform media dan lokasi di seluruh negara.

“Penyelidikan menggabungkan lima media dan tiga firma ini adalah yang julung kali diadakan. Gabungan ini sekali gus menyaksikan ia menjadi kaji selidik terbesar menuju PRU15.

Artikel Berkaitan:

“Lebih menarik, berbeza dengan kaji selidik organisasi tertentu yang sama ada mempunyai agenda atau mewakili mana-mana parti politik, kaji selidik ini adalah survey bebas sama seperti mana tagline Sinar Harian iaitu ‘Telus dan Tulus’,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail berkata, beliau berharap kerjasama itu dapat membantu negara untuk memahami kerencaman pemikiran serta kehendak rakyat Malaysia dan tidak terhad hanya mengenai pertembungan politik di dalam negara sahaja.

“Hujungnya, demokrasi adalah mengenai kekuatan, kehendak dan keperluan masyarakat yang perlu difahami oleh pemain politik dalam arena demokrasi ini yang saya harap dapat ditingkatkan melalui kaji selidik ini.

“Ini supaya suara rakyat itu dapat diangkat sebagai suara utama dalam demokrasi atau lebih spesifik semasa pilihan raya,” ujarnya.

Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang pula berkata, kerjasama semua media terlibat dalam kaji selidik kali ini sangat diperlukan bagi membolehkan ia mendapatkan penglibatan menyeluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Saya juga harapkan semua rakyat Malaysia tidak kira kaum terlibat dalam kaji selidik ini dan menyampaikan hasrat serta kehendak mereka berkenaan kerajaan yang akan ditubuhkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujar beliau.

Cheng Kang - Foto Telum Media
Cheng Kang - Foto Telum Media

Jelas Cheng Kang, melalui kaji selidik tersebut, beliau turut berharap agar laporan berita mengenai hasrat rakyat Malaysia menjadi lebih komprehensif dan merangkumi semua segmen masyarakat.

Pada masa sama, Editor Malaysia Nanban, Rajeswary Kaliaperumal berkata, melalui kaji selidik berkenaan, kerajaan diharapkan dapat merangka satu jalan penyelesaian bagi menambah baik keadaan ekonomi masyarakat terutamanya kaum India.

“Masyarakat India negara ini antara yang terkesan daripada sudut ekonomi sejak pandemik Covid-19 lalu.

“Meskipun terdapat pelbagai bantuan diberikan kerajaan pada waktu tersebut sama ada dalam bentuk wang atau moratorium namun masih ramai dalam kalangan mereka yang terbeban dengan masalah kewangan,” tambah beliau.

Rajeswary
Rajeswary