Kejatuhan nilai ringgit hanya sementara: Annuar Musa

Annuar (tiga dari kanan) menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada penerima pada Ahad.
Annuar (tiga dari kanan) menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada penerima pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS dijangka bersifat sementara.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa menyatakan kejatuhan nilai ringgit sejak seminggu lalu itu membabitkan banyak faktor.

Jelas beliau, antaranya adalah penyelarasan dasar monetari yang sedang dilakukan oleh kedua-dua negara.

“Sekarang ini Amerika Syarikat meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara mendadak menyebabkan pelaburan lain melabur menggunakan AS$ untuk keuntungan lebih dengan nilai OPR yang tinggi.

“Kita pula baru-baru ini menurunkan kadar OPR kerana kelembapan ekonomi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan apabila ekonomi dibuka semula, kita perlu bersaing dengan negara-negara yang lain,” katanya selepas Sesi Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Kolej Matrikulasi Kelantan di Kok Lanas, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, ekonomi negara bagaimanapun terus kekal kukuh dan berkembang namun mencabar disebabkan suasana ekonomi global.

“Untuk tempoh ini ada positif dan negatif. Positif kerana barangan dieksport akan mendapat nilai yang lebih tinggi namun untuk import kita perlu membayar lebih kerana bayaran dibuat dalam AS$.

“Disebabkan itu perlu pelarasan selain membina ketahanan ekonomi melalui peningkatan produktiviti dan memperbanyakkan barang gantian import. Rakyat Malaysia disaran membeli barangan Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara sudah menaikkan kadar OPR tetapi masih lagi di bawah tahap sebelum ini dan perlu terus dinaikkan bagi mengelak nilai ringgit terus jatuh.

“Ringgit menyusut dibandingkan dengan AS$ namun wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding AS$.