'Ahmad Zahid hanya penting diri' - Charles Santiago

Tangkap layar Twitter Charles Santiago
Tangkap layar Twitter Charles Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai pemimpin yang hanya mementingkan diri apabila sanggup meredah banjir sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada akhir tahun ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, tumpuan utama bekas timbalan perdana menteri itu dilihat hanya untuk menggerakkan jentera pilihan raya bagi mendapatkan semula kuasa tanpa mengambil berat terhadap bantuan dan usaha untuk menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku bencana semasa pengundian.

“(Ahmad) Zahid patut menstruktur pasukan banjir UMNO untuk membantu orang ramai yang keluar dari rumah kerana banjir, seperti yang dilakukan oleh orang biasa (dalam banjir sebelum ini), bukannya meminta orang ramai mengundi.

“Bagaimana lelaki ini boleh dipercayai untuk memimpin sebuah negara? Tak tahu malu,” menurut Charles menerusi ciapannya di laman Twitternya pada Ahad.

Ia berikutan ucapan Ahmad Zahid semasa melancarkan jentera pilihan raya Pemuda BN, bahawa gabungan itu bersedia untuk berkempen semasa banjir jika Pilihan Raya Umum diadakan pada musim tengkujuh.

Pada Sabtu, Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, sekiranya ditakdirkan PRU15 diadakan hujung tahun meskipun beberapa negeri sering dilanda banjir dalam tempoh tersebut, jentera Pemuda gabungan politik itu tetap bersedia mengharunginya.

“Kita tahu ada kekangan, akhir tahun ini ada banjir, ada hujan lebat, ada monsun timur laut tetapi kalau Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bubar masa banjir pun, kita sanggup redah banjir,” kata Ahmad Zahid ketika berucap melancarkan Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: