UMNO, Pas dan Bersatu patutnya bergabung: Musa Hitam

Tun Musa Hitam hadir pada program Sembang Kopi bertajuk 'Melayu: Membina Penyatuan dan Menyuburkan Integriti' anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di Hotel Grand Barakah, Ampang, di sini, pada petang Sabtu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Tun Musa Hitam hadir pada program Sembang Kopi bertajuk 'Melayu: Membina Penyatuan dan Menyuburkan Integriti' anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di Hotel Grand Barakah, Ampang, di sini, pada petang Sabtu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam menegaskan tiga parti utama berteraskan Melayu dan Islam di negara ini iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya bergabung.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, selepas bergabung ketiga-tiga parti itu juga perlu memperluaskan ideologi perjuangan mereka bagi menarik sokongan majoriti rakyat.

"UMNO kata mereka parti Melayu dan Islam. Pas pun sama dan terbaru Bersatu pun berpendirian sama. Kalaulah tiga parti ini boleh bersama, mereka boleh wujudkan satu 'simple solid group'.

"Pada masa sama gabungan ini harus beri jaminan kepada bangsa dan agama lain bahawa golongan berkenaan akan diberi kebebasan dan dilindungi," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sembang Kopi bertajuk 'Melayu: Membina Penyatuan dan Menyuburkan Integriti' yang dikendalikan moderator, Tan Sri Johan Jaaffar anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di Hotel Grand Barakah, Ampang, di sini, pada petang Sabtu.

Tun Musa Hitam
Tun Musa Hitam

Musa menjelaskan, tiga parti tersebut perlu kuat kerana mereka perlu berhadapan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang terdiri daripada pelbagai kaum dan berjaya menarik sokongan dan keahlian orang muda Melayu.

"Saya nak beritahu secara terus terang, semasa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang lancar buku beliau sebelum ini, saya hadir dan anehnya bila masuk ke dewan saya nampak ramai yang bertudung (anak-anak Melayu yang datang).

Artikel Berkaitan:

"Mereka adalah penyokong dan ahli DAP sebab DAP serta PKR ini saya lihat ideologi mereka lebih luas dari ideologi Melayu dan Islam semata-mata," ujarnya.

Sementara itu, Musa berkata, pegangan ketuanan Melayu masih wujud hingga kini di Malaysia disebabkan orang Melayu masih taksub dengannya.

Menurutnya, ketuanan Melayu wujud semasa negara disebut sebagai Tanah Melayu dan selepas negara mencapai kemerdekaan, pegangan itu sepatutnya sudah bertukar.

"Lepas merdeka, kita (negara) bukan dibentuk oleh kumpulan Melayu sahaja. Namun kalau kita mahu lihat siapa yang wakili Melayu, mereka ialah UMNO. Melayu dengan UMNO cukup sinonim dan siapa pun tak boleh cabar.

"Namun sekarang, Melayu tidak bersatu lagi jadi soal ini harus diteliti iaitu bagaimana kita nak menjaga kepentingan Melayu," jelas beliau.