Perak FC mungkin ke Piala Malaysia

Bobie Farid (dua dari kiri) ketika sidang akhbar bersama pegawai pasukan Perak FC di Stadium Perak, di sini pada Sabtu.
Bobie Farid (dua dari kiri) ketika sidang akhbar bersama pegawai pasukan Perak FC di Stadium Perak, di sini pada Sabtu.
A
A
A

PELUANG Perak FC untuk ke saingan Piala Malaysia 2022 masih belum tertutup susulan terdapat pasukan yang layak berdepan masalah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bobie Farid Shamsuddin berkata, setakat ini masih belum ada sebarang keputusan rasmi bahawa Perak FC tidak boleh beraksi di dalam Piala Malaysia.

Menurutnya, senarai pasukan yang bakal bersaing pada Piala Malaysia hanya akan diketahui pada Rabu depan.

"Disebabkan ada dua pasukan yang diberikan amaran oleh Malaysia Football League (MFL) untuk menyelesaikan masalah dihadapi dan jika mereka tidak menyelesaikannya, team yang masuk ke Piala Malaysia ialah Pulau Pinang dan Perak," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Stadium Perak di sini pada Sabtu.

Perak FC sebelum ini terlepas peluang ke Piala Malaysia secara automatik selepas berada di dasar Liga Premier 2022.

Sementara itu mengenai peluang bermain di Liga Super tahun hadapan, Bobie Farid berkata, pihaknya optimis untuk Perak FC bermain di liga berprestij itu kerana kelab sudah memenuhi keperluan pelesenan ditetapkan MFL.

"Melihat senario pelesenan kelab yang telah disyaratkan oleh MFL, kami telah lulus dari semua segi.

"Kita tahu ada beberapa team yang gagal untuk memenuhi keperluan pelesenan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi; Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah; Ketua Jurulatih Perak FC 2023, Lim Teong Kim dan Pengarah Sukan Perak FC, Ahmad Shahrul Azhar.