Malaysia 'smash' India, tempah slot suku akhir Piala Sudirman

Aaron-Wooi Yik ketika berdepan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Pusat Sukan Olimpik Suzhou pada Isnin.
Aaron-Wooi Yik ketika berdepan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Pusat Sukan Olimpik Suzhou pada Isnin.
A
A
A

MALAYSIA meneruskan persembahan luar biasa saingan Piala Sudirman 2023 apabila menewaskan India, 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, China pada Isnin.

Kemenangan memberangsangkan itu menyaksikan skuad negara mengesahkan tiket ke suku akhir selepas melakar kemenangan bergaya 5-0 ke atas Australia pada Ahad.

Momentum positif dua perlawanan awal itu membolehkan skuad negara untuk lebih santai berdepan Taiwan dalam aksi terakhir pada Rabu yang menentukan gelaran juara dan naib juara kumpulan.

Beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menyumbang mata pertama Malaysia selepas menewaskan Dhruv Kapila-Ashwini Ponappa 21-16, 21-17

Rentak kemenangan itu diteruskan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia apabila meletakkan Malaysia selesa 2-0 di depan selepas menjinakkan K Srikanth 21-16, 21-11.

Goh Jin Wei yang tampil dengan status perseorangan wanita negara meneruskan momentum Malaysia apabila menewaskan, PV Sindhu 14-21, 21-10, 22-20 dalam aksi ketiga.

Juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil lebih garang apabila mengatasi cabaran Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18, 21-19.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah kemudiannya melengkapkan kemenangan bergaya apabila menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-15, 21-13.