PRU15: PN Pahang lancar jentera 10 Oktober depan

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang akan melancarkan jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 10 Oktober depan.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, penetapan tarikh itu dibuat selepas mesyuarat bersama pemimpin parti gabungan yang diadakan di Temerloh pada petang Jumaat.

Menurutnya, taklimat berkaitan persiapan menghadapi PRU15 bersama semua pimpinan daripada Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga sudah selesai dibincangkan.

"Dari segi pengagihan kerusi antara semua parti komponen dalam PN Pahang juga sudah selesai dan ia boleh dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Selain itu, kita juga sudah melantik ketua bagi badan perhubungan kawasan Parlimen di Pahang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Saifuddin yang juga Menteri Luar menjelaskan, semua jentera di 14 Parlimen di Pahang juga sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan bila-bila masa.

Tambahnya, PN Pahang bakal menggunakan slogan 'PN Teraju Pahang' sepanjang kempen PRU15 diadakan.

"Slogan itu hampir sama dengan slogan 'Pas Teraju Pahang' digunakan oleh parti Islam itu dalam pilihan raya yang lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin slogan ini adalah sebagai pembakar semangat semua jentera parti dalam PN dan menunjukkan kesediaan mereka untuk merampas kerajaan Pahang yang kini diterajui UMNO," ujar beliau.