APM galas tanggungjawab besar

Anggota APM sentiasa dilatih untuk berdepan dengan situasi kecemasan dan bencana.
Anggota APM sentiasa dilatih untuk berdepan dengan situasi kecemasan dan bencana.
A
A
A

SHAH ALAM - Menggalas tugas yang diamanahkan bukan sekadar pertolongan awal terhadap kes-kes yang dilaporkan.

Bermula daripada kes melibatkan haiwan liar sehinggalah tragedi besar seperti tanah runtuh dan nahas jalan raya, semuanya dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Namun, masih ramai yang masih beranggapan tugas APM ini hanya melibatkan kes aduan seperti binatang liar, sehingga ada masyarakat menganggap menangkap ular sebagai kerja mereka.

Sinar Harian menerusi kolum Fail Jenayah minggu ini berpeluang menemu bual dengan lebih lanjut Pengarah APM Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin bagi menerangkan peranan serta fungsi pasukan itu di Selangor.

Menurut Mulliadi, peranan APM sering kali disalah erti dengan menganggap fungsi jabatan itu hanya sekadar melibatkan kes seperti tangkapan binatang berbisa.

"Memang benar menangkap binatang berbisa seperti ular adalah antara tugas APM, namun ia cuma salah satu skop tugas kami.

"APM merupakan lapisan pertahanan ketiga negara selepas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kami memainkan peranan penting dalam pelbagai keadaan sama ada aman atau perang," ujarnya.

Menurut beliau, dalam situasi peperangan di mana ATM dan PDRM mempertahankan negara, maka APM berperanan dalam menjaga keselamatan awam.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dalam situasi aman, antara fungsi APM adalah membantu dan membuat persediaan kepada masyarakat mengenai bencana alam.

"Antaranya memberi bantuan kecemasan yang meliputi pencegahan penyakit dan pencegahan binatang berbisa.

"Selain itu, APM turut berperanan membantu memberikan pertolongan kecemasan awal melibatkan kemalangan jalan raya, kemalangan tempat kerja dan kes bunuh diri," katanya.

Peranan Angkatan Pertahanan Awam seringkali disalah erti dengan menganggap fungsi jabatan ini hanya sekadar melibatkan kes seperti tangkapan binatang berbisa.
Peranan Angkatan Pertahanan Awam seringkali disalah erti dengan menganggap fungsi jabatan ini hanya sekadar melibatkan kes seperti tangkapan binatang berbisa.

Lengkapkan masyarakat persiapan hadapi bencana

Kejadian banjir atau tanah runtuh diistilahkan sebagai bencana alam yang mempunyai impak semasa dan selepas ianya berlaku, seperti kehilangan nyawa mahu pun harta benda penduduk setempat.

Setiap kali bencana melanda, komuniti setempat dilihat mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada pasukan ataupun agensi penyelamat.

Mulliadi berkata dalam soal ini masyarakat perlu didedahkan dengan pengetahuan bersesuaian untuk mampu berperanan sebagai penyelamat pertama atau first responder di lokaliti mereka.

"Impak bencana adalah satu keadaan yang terjadi seakan insiden 'serangan hendap' dan berlaku secara mengejut sehingga mengakibatkan situasi kucar kacir dengan hanya beberapa saat sahaja selepas ia terjadi.

"Masyarakat perlu mempunyai keupayaan dan harus dipersiapkan untuk mengurangkan keterancaman akibat bencana yang berlaku sebagaimana saranan global dalam Kerangka Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) 2015-2030," katanya.

Adaptasi pendekatan daripada Jepun

Dalam usaha memastikan kebersiap siagaan menghadapi bencana, kursus dan latihan diadakan melibatkan pegawai dan anggota APM sendiri bersama masyarakat.

Jelas Mulliadi, antaranya melibatkan kursus Training of Trainers (TOT) Pengurusan Dan Pengurangan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM).

Menurutnya, kursus ini diadakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi Zon Wilayah Tengah yang melibatkan Negeri Selangor, Perak dan Wilayah Persekutuan di Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) Bangi, baru baru ini.

"Tujuan utama kursus ini adalah sebagai usaha bagi melahirkan para pegawai APM yang kompeten.

"Ia secara langsung menggunakan pendekatan Jepun untuk membantu komuniti setempat mempelajari dan memahami peranan komuniti itu sendiri dalam mengenalpasti risiko.

"Selain itu, kursus yang diadakan ini turut menerapkan langkah dalam menguruskan komuniti terkesan dan mengendalikan situasi bencana secara kendiri sebelum pasukan penyelamat hadir memberikan bantuan," katanya.

Penglibatan komuniti dalam bersama pasukan penyelamat amat penting kerana komuniti setempat mempunyai pengetahuan sedia ada tentang sejarah bencana, maklumat lokaliti, keterancaman dan keupayaan mereka di kawasan kejiranan mereka sendiri.

Mulliadi berkata, adanya penglibatan komuniti dalam kursus sebegini sekaligus memberikan pendedahan kepada mereka untuk bertindak apabila bencana melanda.

"Kita mahu membentuk pegawai APM yang kompeten dalam menjalinkan kerjasama dengan komuniti setempat bagi memahami konsep pengurangan dan pengurusan risiko bencana di lokaliti mereka.

"Dan secara langsung ia sebagai usaha untuk mewujudkan profil data bagi komuniti terutama di lokasi hotspot bencana," katanya.

Turun padang beri pendedahan kepada masyarakat

Aktiviti 'Jenguk Kampung' antara aktiviti yang bakal didedahkan sebagai antara usaha pendedahan kepada komuniti bagi memahami konsep pengurangan risiko bencana (DRR).

Mulliadi berkata, pendedahan akan diberikan kepada komuniti berkaitan tindakan awal yang perlu diambil sebelum berlaku bencana.

"Pendedahan berbentuk latihan akan disediakan terutamanya kepada komuniti setempat supaya komuniti berkeupayaan untuk berdaya tahan.

"Kaedah pendedahan seumpama ini kepada warga komuniti setempat sekaligus menghubungkan jalinan komuniti dengan pasukan penyelamat sebagai persediaan awal sekiranya berlaku bencana luar jangka," katanya.

Siap siaga hadapi banjir

Sebanyak 311 lokasi ‘hotspot’ banjir di negeri ini telah dikenal pasti susulan keadaan cuaca tidak menentu.

APM bersama Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor sentiasa bersiap sedia menjalankan pemantauan di kesemua lokasi yang terlibat.

Mulliadi berkata, pihaknya sentiasa meletakkan pasukan dalam keadaan siap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk banjir di lokaliti yang dikenal pasti.

"311 lokasi tersebut melibatkan 65 kawasan di Klang diikuti Hulu Langat (61), Petaling (45), Kuala Selangor (38), Sepang (37), Kuala Langat (25), Gombak (24), Sabak Bernam (9) dan Hulu Selangor (7).

"Kesemua lokasi di sembilan daerah itu dikenal pasti menerusi hasil pemantauan, kajian lapangan dan penelitian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor," katanya.

Aset sedia diatur gerak hadapi bencana

Aset serta kelengkapan merupakan aspek penting dalam memastikan kerja membantu dan menyelamat berjalan dengan lancar.

Mulliadi berkata aset dan kelengkapan APM sentiasa diperkemas serta diletakkan dalam kedaan siap siaga.

"Aset penyelamatan APM di setiap daerah di Selangor meliputi 44 bot pelbagai jenis, 11 ambulans, 13 kenderaan utiliti pacuan empat roda dan 10 trak atau jentera penyelamat.

"Kesemua aset ini sentiasa dipastikan dalam keadaan baik untuk digunakan pada bila-bila masa, terutamanya ketika terjadinya satu-satu bencana," katanya.

Jelas Mulliadi, hampir 700 keanggotaan APM Selangor turut siap siaga bagi menangani sebarang kemungkinan bencana di negeri ini.

"Ketetapan dengan pengaturan anggota ditugaskan menjalankan pemantauan sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh lebih dua jam di kawasan hotspot.

"Penugasan ini dijalankan selama 24 jam tanpa mengira masa dan waktu sama ada siang atau malam sebagai persediaan awal sekiranya berlaku bencana luar jangka," katanya.

INFO

Fungsi Pertahanan Awam

- Melatih dan melengkapkan rakyat dengan ilmu pertahanan awam ke arah kesiapsiagaan menghadapi ancaman musuh, kecemasan dan bencana.

- Melaksanakan tugas menyelamat, perlindungan dan khidmat kemanusiaan dari sebarang ancaman musuh, bencana dan kecemasan.

- Menggubal dan menyusun modul-modul latihan yang terkini dan komprehensif bagi Angkatan Pertahanan Awam.

- Menubuh dan mentadbir urus Angkatan Pertahanan Awam melalui perkhidmatan dan logistik yang relevan dan terkini.

- Mengenal pasti dan mengkaji ancaman serta mengawal risiko yang boleh memberi impak terhadap keselamatan rakyat dan negara.

- Menyediakan perkhidmatan kecemasan dan khidmat bantuan kemanusiaan di seluruh negara.

- Menilai dan menyebar maklumat, khidmat nasihat serta amaran kepada orang awam berkaitan sebarang ancaman musuh, kecemasan dan bencana.

- Melaksana dan menambahbaik dasar-dasar pertahanan awam berpandukan punca kuasa yang ditetapkan.

- Merekuisisi aset dan fasiliti bagi tujuan pertahanan awam.

Peranan Pertahanan Awam

- Melatih seramai mungkin rakyat yang mempunyai pengetahuan dalam aspek keselamatan dan Pertahanan Awam – Seksyen 3(2)c Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221).

- Mengelola, menubuh, menyenggara, melengkapi, melatih dan mendisiplin Angkatan dan Perkhidmatan Pertahanan Awam – Seksyen 3(2)a Akta 221.

- Melakukan kerja bantuan bencana atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, orang atau harta benda penduduk awam sekiranya berlaku atau akan berlaku bencana serta memudahkan pemulihan mangsa selepas bencana tersebut-Seksyen 8(1) Akta 221.

Bermula daripada kes melibatkan haiwan liar sehinggalah kemalangan melibatkan tragedi besar seperti tanah runtuh, nahas jalan raya antara tugas yang dijalankan dengan penuh amanah oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Bermula daripada kes melibatkan haiwan liar sehinggalah kemalangan melibatkan tragedi besar seperti tanah runtuh, nahas jalan raya antara tugas yang dijalankan dengan penuh amanah oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).