'Lucut hak bertanding pemimpin politik terlibat rasuah'

Aiman athirah (tengah) ketika sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Awan 2022 pada Jumaat.
Aiman athirah (tengah) ketika sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Awan 2022 pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Pemimpin parti politik dan pegawai tinggi awam yang didakwa terlibat dengan rasuah dan cuai dalam menjalankan tugas mengurus tadbir kewangan negara perlu dilucutkan hak daripada bertanding dalam pilihan raya.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan), Aiman Athirah Sabu berkata, ia termasuk tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik dan pentadbiran awam.

"Tuntutan kami supaya pesalah rasuah seperti bekas Perdana Menteri dan Menteri apabila melakukan rasuah perlu diberi hukuman walaupun minimum tapi keras.

"Kalau setakat mencuri RM42 juta, tapi 12 tahun penjara... ia tak cukup setakat itu, sepatutnya terus dihalang daripada sertai parti politik.

"Sebabnya bila mereka masih dibenarkan sertai parti politik dan memegang jawatan, mereka ada potensi melakukan kesilapan sama," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Awan 2022 pada Jumaat.

Selain itu katanya, kerajaan perlu mengkaji semula tindakan bagi kesalahan rasuah dengan menetapkan hukuman minimum yang lebih tegas.

Tambahnya, ia merupakan suatu mekanisme pencegahan yang harus diberi perhatian.

"Ini termasuk meminda undang-undang anti rasuah khususnya hukuman penjara minuman kepada pesalah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) bagi menangani kelompongan dalam kerangka perundangan pencegahan rasuah dan penguatkuasaan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Reformasi institusi juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh bermula dengan mengembalikan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar benar-benar bebas daripada campur tangan politik dan dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen, bukannya Perdana Menteri, " jelas beliau.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, fungsi dan kuasa SPRM harus diperkasakan khususnya dengan memperuntukkan kuasa pendakwaan bagi kes-kes rasuah terus kepada SPRM.

Jelasnya, dalam konteks sistem pengasingan kuasa dalam amalan demokrasi, pengasingan bidang tugas Peguam Negara dan pendakwa raya adalah amat kritikal bagi mengelakkan percanggahan kepentingan terutamanya dalam pendakwaan kes-kes berprofil tinggi.

"Martabat, integriti dan profesionalisme institusi-institusi penguatkuasaan undang-undang yang sinonim dikaitkan dengan amalan rasuah khususnya Polis Diraja Malaysia(PDRM) hanya dapat dikembalikan menerusi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Ia bagi menangani isu integriti dan mengekang salah laku sekali gus memastikan organisasi tidak dinodai dengan skandal penyelewengan, korupsi atau salah guna kuasa," ujarnya.