Sukma 2022: Pemburuan kuasa besar sukan nasional bermula

Kontinjen Terengganu muncul juara Sukma edisi 2018 di Perak.
Kontinjen Terengganu muncul juara Sukma edisi 2018 di Perak.
A
A
A

TEKA-teki negeri mana bakal menjadi 'kuasa besar' Sukan Malaysia (Sukma) MSN ke-20 dalam era pemulihan daripada pandemik Covid-19 bakal terungkai apabila temasya itu berlangsung secara rasminya bermula Jumaat hingga 24 September depan.

Acara bola sepak sudah bermula sejak Isnin, malah berbasikal lebuh raya di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan dan wusyu di Bukit Jalil telah mempertandingkan acara berpingat pada Rabu.

Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur kali ini, lebih mementingkan penganjuran pertandingan untuk memberi peluang kepada atlet di peringkat negeri bersaing dan mengetengahkan bakat mereka, berbanding penganjuran yang meriah.

Had umur Sukma kali ini juga diberikan pengecualian atas faktor Sukma khas kerana temasya dwitahunan itu tidak dapat diadakan pada 2020 kerana pandemik.

Kali terakhir Sukma diadakan pada 2018 di Perak sebelum pandemik melumpuhkan arena sukan dunia buat seketika, Terengganu muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan (52-38-50) serta Selangor di tempat ketiga (47-68-67).

Kontinjen Terengganu menyifatkan mereka berada pada landasan tepat untuk melebarkan rekod gelaran juara kali keenam, selain meletakkan sasaran realistik 57 pingat emas, 25 perak dan 40 gangsa pada edisi kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sasaran itu akan membolehkan negeri itu mempertahankan gelaran juara Sukma yang dimenangi di Perak empat tahun lepas.

Kontinjen Wilayah Persekutuan yang pernah muncul juara dua kali turut tidak mahu ketinggalan, apabila berhasrat menjadi 'duri dalam daging' pada temasya itu dengan meletakkan sasaran sebanyak 70 pingat emas bagi merampas gelaran juara keseluruhan dari Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sasaran berkenaan diletakkan berdasarkan prestasi semasa para atlet kontinjen yang digelar WiPers itu, selain mereka sudah biasa dengan kebanyakan venue pertandingan.

“Kami yakin dengan latihan yang dibuat boleh meraih 70 emas itu. WiPers sewajarnya jadi juara kerana bertanding dalam semua acara, kita berlawan dan berlatih di sini dan kita patut menang,” katanya.

Dalam pada itu, Selangor yang mendominasi Sukma sebanyak sembilan kali sejak mula dianjurkan pada 1986, meletakkan sasaran 40 pingat emas dan berada di kedudukan tiga terbaik keseluruhan, berdasarkan prestasi semasa atlet serta pencapaian sebelum ini.

Sebanyak 31 jenis sukan dipertandingkan pada temasya kali ini, melibatkan 426 pingat emas iaitu 223 dalam acara lelaki, wanita (184) dan campuran (19) yang menjadi buruan kontinjen yang mewakili semua negeri, Wilayah Persekutuan serta Brunei sebagai kontinjen jemputan.

Hampir 9,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen mengesahkan penyertaan untuk temasya itu kali ini. Kebanyakan venue melibatkan empat zon sekitar Lembah Klang - Kuala Lumpur, Bangi (termasuk Nilai dan Putrajaya), Bukit Jalil dan Shah Alam manakala pelayaran dianjurkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Sukma ke-20 itu, dijadualkan Sabtu ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Edisi Sukma ini sepatutnya diadakan di Johor dua tahun lepas, namun ditangguhkan berikutan penularan Covid-19. Ia kembali direncana untuk diadakan tahun ini, namun Johor memohon penangguhan penganjuran sukan berkenaan ke 2024. - Bernama