Bersih gesa SPR benar undi awal kepada pengundi luar wilayah

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mempertingkatkan hak pengundi luar kawasan khususnya dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di luar negeri tersebut.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan berkata, SPR perlu memberikan status pengundi tidak hadir kepada pengundi luar wilayah dan membenarkan mereka menjalani undi awal di pusat pengundian sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“SPR boleh mendirikan ‘Pusat Undi Awal Mega’ di setiap ibu negeri bagi pengundi luar kawasan untuk mengundi tiga hari sebelum hari pengundian bagi menghantar semula kertas undi mereka kepada pegawai pengurus di kawasan untuk dikira pada Hari Pengundian.

“Kementerian Kesihatan telah menunjukkan bahawa operasi besar-besaran di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dapat dijalankan dengan teratur dan selamat,” menurut kenyataan itu pada Khamis yang dikeluarkan sempena Hari Malaysia.

Menurut kenyataan itu, peningkatan hak mengundi itu sangat penting dalam memastikan semua rakyat Malaysia dapat mengawasi ahli politik dan pegawai kerajaan serta mengukuhkan tunjang institusi demokrasi negara.

Tambah kenyataan itu, untuk itu semua rakyat Malaysia sepatutnya dibenarkan mengundi dengan kemudahan maksimum dan kos minimum iaitu sesuatu yang menurutnya sudah sejak sekian lama diperoleh kebanyakan pengundi dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di luar negeri itu.

“Perkara ini tidak benar untuk 500,000 pengundi asal Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung dan 60,000 pengundi Semenanjung yang tinggal di wilayah Borneo.

“Sekiranya mereka ingin mengundi di pilihan raya persekutuan atau negeri, mereka perlu mengambil cuti daripada kerja dan belanja lebih RM1,000 untuk perjalanan pulang ke kawasan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Ini juga bermaksud mereka yang tidak mampu membeli tiket kapal terbang atau mengambil cuti akan dinafikan hak mengundi.

“Mempertimbangkan bahawa kebanyakan orang Sabah dan Sarawak meninggalkan wilayah mereka kerana kekurangan peluang pendidikan dan pekerjaan, apabila mereka dinafikan hak untuk mengundi secara tidak hadir, sebenarnya orang Sabah dan Sarawak secara sistematik telah dikesampingkan dalam politik Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tidak mengejutkan apabila di sebalik kadar peratusan mengundi kebangsaan agak tinggi antaranya pada tahun 2008 iaitu 76 peratus, 2013 (85 peratus) dan 2018 (82 peratus), angka paling tinggi direkodkan di Sarawak adalah hanya 73 peratus manakala Sabah pula 80 peratus.

“Tidak munasabah dan tidak dapat dimaafkan bahawa kita sebagai negara dapat membiarkan ketidakadilan ini dalam politik dan pilihan raya selama 59 tahun!” tegas kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, Bersih turut menggesa untuk proses pengundian luar negara dipermudahkan dengan menggantikan operasi manual kertas undi pos dengan membenarkan pengundi memuat turun dan mencetak kertas undi pos versi PDF.

Menurut kenyataan itu, ini supaya kertas undi berkenaan boleh diposkan selepas hari penamaan dan sempat sampai kepada pegawai pengurus tepat pada masanya.

“Kedua-dua pembaharuan iaitu pengundi luar negara dengan kemudahan undi awal dan mempermudahkan proses pengundi pos luar negara wajib dilaksanakan sebelum PRU15 untuk mengelakkan peratusan turun mengundi yang rendah sebagaimana di PRN Johor pada bulan Mac lepas iaitu hanya 55 peratus.

“Peratusan yang rendah melemahkan keabsahan kerajaan, terutamanya apabila kerajaan itu perlu mengambil langkah yang tidak popular tetapi perlu bagi menangani krisis,” katanya.