MKI tubuh empat jawatankuasa perkasa hal ehwal Islam

Sultan Sharafuddin (kanan) berkenaan menyampaikan watikah pelantikan kepada Abdul Farid.
Sultan Sharafuddin (kanan) berkenaan menyampaikan watikah pelantikan kepada Abdul Farid.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) membentuk empat jawatankuasa bagi memperkasakan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ia dibentuk melalui penstrukturan semula peraturan MKI yang diperkenan oleh Majlis Raja-Raja pada Mac lalu.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut meliputi Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan, Jawatankuasa Muzakarah MKI, Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan dan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan.

"Jawatankuasa ini dikhususkan bagi menyeragam dan menggalakkan persamaan di bidang perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam, pendidikan Islam dan penyelarasan fatwa.

"Sepanjang MKI ditubuhkan pada tahun 1968, banyak kejayaan dilakar khususnya dalam bidang pendidikan Islam, perundangan syariah, hal ehwal Islam dan pengurusan fatwa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan aluan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Penghargaan Ahli Dilantik Jawatankuasa Bawah MKI di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.

Majlis tersebut turut menyaksikan seramai 26 ahli dilantik jawatankuasa bawah MKI mengikut kepakaran bersesuaian.

Watikah pelantikan tersebut disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi MKI.

Artikel Berkaitan:

Antara yang menerima watikah pelantikan berkenaan ialah bekas Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Farid Alias.

Turut hadir ialah Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.