Segerakan pembinaan pangkalan Maritim

 Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pembinaan sebuah pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di kawasan Sabak Bernam perlu diberi perhatian oleh kerajaan bagi membela nasib nelayan tempatan di kawasan itu.

Lebih membimbangkan, nelayan asing dan haram yang beroperasi di kawasan itu juga turut didakwa menggunakan pukat harimau bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah sehingga mengganggu ekosistem hidupan air di kawasan tersebut.

ADUN Sungai Ayer Tawar, Rizam Ismail berkata, langkah pembinaan pangkalan Maritim itu perlu perlu diutamakan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan di kawasan berkenaan yang turut dikenali sebagai hub pengeluaran ikan.

"Buat masa ini, pangkalan Maritim yang terdekat terletak di kawasan Klang dan sudah semestinya pegawai dan anggota akan berdepan kesulitan untuk ke sini sekiranya berlaku sebarang pencerobohan atau sebagainya," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Rizam yang juga merupakan ketua pembangkang Selangor pernah membangkitkan mengenai pembinaan pangkalan Maritim tersebut pada sesi Sidang DUN lalu.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan pukat harimau oleh nelayan asing, Rizam berkata, walaupun ia telah diharamkan oleh kerajaan, namun aspek penguatkuasaan yang lemah telah membuatkan nelayan-nelayan tempatan diancam oleh tindakan itu.

Beliau berkata, negara jiran seperti Thailand dan Indonesia dilihat lebih tegas dalam penggunaan pukat harimau ini bagi memastikan habitat hidupan air tidak terancam.

"Semua orang tahu bahawa pukat harimau ini akan memusnahkan semua hidupan air yang berada di bawah sehingga menjejaskan ekosistem. Disebabkan itulah penguatkuasaan perlu diketatkan bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan.

Artikel Berkaitan:

"Lebih menyedihkan, pendapatan nelayan tempatan juga terjejas teruk akibat penggunaan pukat harimau ini," katanya.

Dalam pada itu, Rizam turut menyarankan agar pimpinan kerajaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan supaya dapat turun padang bagi melihat sendiri keadaan di lapangan dalam membantu mengurangkan beban ditanggung oleh nelayan tempatan.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu menilai dan mengkaji semula untuk menarik balik lesen nelayan-nelayan tempatan yang didapati memberikan bot mereka kepada warga asing untuk menangkap ikan.

"Kita dapati ada banyak bot-bot yang beroperasi tanpa lesen dan penguatkuasaan perlu diambil dalam perkara ini terhadap pihak bertanggungjawab," katanya.