Jabatan Perhutanan henti sementara pembalakan di Tasik Kenyir

Keadaan air terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir yang keruh dipercayai berpunca daripada kesan aktiviti pembalakan yang berlaku di kawasan itu.
Keadaan air terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir yang keruh dipercayai berpunca daripada kesan aktiviti pembalakan yang berlaku di kawasan itu.
A
A
A

KUALA BERANG - Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah mengambil tindakan pantas dengan menghentikan sementara aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran Tasik Kenyir dekat sini, yang didakwa menjadi punca aliran Air Terjun Sungai Lasir bertukar keruh.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu Sulaiman Sulong berkata difahamkan, aktiviti pembalakan di kawasan kira-kira 4 kilometer (km) dari hulu Sungai Lasir itu telah dihentikan sebaik sahaja isu pencemaran berkenaan dilaporkan dalam akhbar dan laman sosial.

Beliau berkata, operasi tersebut akan dihentikan sehingga aliran air terjun yang menjadi lokasi tumpuan pelancong ke Tasik Kenyir kembali jernih.

"Pihak Jabatan Perhutanan telah ambil tindakan-tindakan alternatif dengan segera bagi memastikan pembalakan yang berlaku di sekitar empat kilometer dari hulu Sungai Lasir dapat dihalang atau diminimumkan.

"Pada masa yang sama, faktor hujan lebat juga dipercayai mengakibatkan berlakunya air keruh dan berkeladak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kursus jurupandu Taman Geo di Tasik Kenyir petang Rabu.

Sulaiman mengulas mengenai laporan akhbar semalam yang mendakwa Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir ‘indah khabar dari rupa’ kerana air keruh dan berkeladak, dipercayai berpunca daripada kegiatan pembalakan di kawasan berhampiran.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan semalam dilaporkan berkata, isu air berkeladak di Tasik Kenyir adalah disebabkan hujan lebat dan bukanlah kerana aktiviti pembalakan.

Beliau dipetik sebagai berkata, semua aktiviti berkaitan perhutanan dan pembalakan mempunyai syarat-syarat khusus termasuk penentuan jarak bersesuaian antara kawasan pembalakan dengan gigi air bagi mengelak pencemaran. - Bernama.

Artikel Berkaitan: