Masjid disaran bantu ahli kariah

Mahfuz (tengah) menunjukkan barangan sumbangan keperluan yang diagihkan kepada 20 mangsa ribut di Parlimen Pokok Sena.
Mahfuz (tengah) menunjukkan barangan sumbangan keperluan yang diagihkan kepada 20 mangsa ribut di Parlimen Pokok Sena.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengurusan Masjid disaran untuk membantu ahli-ahli kariah yang ditimpa kesusahan menerusi tabung kutipan yang diperolehi terutama setiap solat Jumaat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, duit sumbangan yang diperolehi itu bukanlah semata-mata untuk disimpan dan berbangga dengan jumlah simpanan sebaliknya dimanfaatkan kepada seluruh ahli kariahnya.

Menurutnya, perkara tersebut perlu diberikan perhatian oleh semua pengurusan masjid sebelum disusuli dengan bantuan seterusnya oleh pihak berwajib seperti kejadian ribut yang berlaku di beberapa mukim di sekitar Pokok Sena.

"Semua pihak perlu membantu dan masjid juga perlu bersama meringankan beban mangsa-mangsa seperti bencana ribut kerana perlu tahu bagaimana untuk memanfaatkan setiap sumbangan oleh ahli kariah

"Pejabat Daerah Pokok Sena sedang mengenal pasti setiap mangsa dan bancian berkenaan jumlah kerugian akan dilakukan bermula esok.

"Sebarang bentuk bantuan bencana akan diputuskan selepas itu," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada 20 keluarga dalam Parlimen Pokok Sena di Kampung Padang Kunyit yang terjejas berikutan kejadian ribut pada Rabu dan Khamis lalu

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, antara kawasan yang terjejas dengan ribut adalah Mukim Bukit Pinang, Mukim Telaga Mas, Mukim Langgar, Mukim Hutan Kampung dan Mukim Lepai yang melibatkan 12 kampung di Parlimen Pokok Sena.

Jelasnya, selain rumah penduduk, sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad di Pokok Sena turut terjejas.

Artikel Berkaitan:

Hasnah Ismail
Hasnah Ismail

Sementara itu, seorang mangsa, Hasnah Ismail, 52 berkata, ketika kejadian beliau dan anak-anaknya tidak berada di rumah.

Sebaik pulang ke rumahnya itu kira-kira jam 7 petang pada Khamis, beliau terkejut kerana sebahagian bumbung rumahnya telah diterbangkan oleh ribut.

"Memang terkejut dengan kejadian ini sebab pertama kali terjadi tetapi bersyukur semasa berlaku kami semua tidak berada di rumah. Kira-kira RM1,000 dihabiskan untuk memasang bumbung yang baru," katanya.