MAIM cadang bina pusat jagaan warga emas

Md Rawi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa rumah terbakar, Ibrahim Kadir (empat dari kiri) di Kampung Belimbing Dalam di sini, pada Rabu.
Md Rawi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa rumah terbakar, Ibrahim Kadir (empat dari kiri) di Kampung Belimbing Dalam di sini, pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bercadang untuk membina sebuah pusat penjagaan warga emas di negeri ini khusus mereka yang tidak mempunyai waris.

Pengerusinya, Datuk Md Rawi Mahmud, berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat mesyuarat ahli majlis hal ehwal Islam untuk dipersetujui sebelum tindakan lanjut bagi merealisasikan hasrat ini terlaksana.

Menurutnya, langkah ini merupakan salah satu keprihatinan MAIM dalam membantu golongan kurang bernasib baik terutama gelandangan warga emas ataupun warga emas tinggal berseorangan dan tidak mempunyai waris.

Katanya, meskipun kes warga emas ditinggalkan atau hidup bersendirian tidak banyak dilaporkan namun setiap kali terdapat kes pihaknya terpaksa menghantar individu itu ke rumah penjagaan di Muar, Johor.

"MAIM belum ada lagi rumah penjagaan seperti itu dan kita akan bawa cadangan ini sebelum mendapat kelulusan, malah perkara ini disokong Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Kita merancang untuk mewujudkan pusat ini di kawasan Daerah Melaka Tengah memandangkan terdapat tanah rezab MAIM dalam kawasan itu namun belum ada lokasi yang ditetapkan lagi," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa kebakaran di Kampung Belimbing Dalam di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Kalil dan wakil Ketua Menteri, Datuk Ghafar Misdar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIM simpati dengan kejadian kebakaran yang menimpa empat beranak di kampung itu dan bantuan awal telah diberikan termasuk wang tunai selain bantuan agensi kerajaan lain.

"MAIM juga akan membantu membayarkan rumah sewa bagi keluarga ini sebanyak RM400 sebulan sementara menunggu rumah separa batu dan kayu ini dibaik pulih," kata beliau.