Nilai semula kos bina Klinik Kesihatan Parit Baru

Rizam (dua dari kiri) membuat lawatan ke Klinik Kesihatan Parit Baru yang musnah dalam kebakaran pada Rabu.
Rizam (dua dari kiri) membuat lawatan ke Klinik Kesihatan Parit Baru yang musnah dalam kebakaran pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI AIR TAWAR - Penilaian semula perlu dibuat bagi menentukan kos sebenar yang diperlukan untuk membina Klinik Kesihatan Parit Baru yang musnah dalam kebakaran pada Selasa.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau akan berbincang dengan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam berhubung kos diperlukan bagi membina semula klinik kesihatan berkenaan.

"Saya akan membawa perkara ini kepada Kementerian Kesihatan yang kemudiannya kepada Kementerian Kewangan untuk diperhalusi dari segi kos pembinaan semula klinik terbabit," katanya semasa melakukan lawatan di Klinik Kesihatan Parit Baru pada Rabu.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, cadangan pelaksanaan pembinaan klinik kesihatan itu perlu dilaksanakan segera bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, rakyat perlu diberi keutamaan dari segi kesihatan yang tidak menentu pada waktu ini lebih-lebih negara baharu sahaja melalui pandemik Covid-19 ke fasa peralihan endemik.

"Kita perlu bersedia dalam keadaan pelbagai penyakit berisiko tinggi dihadapi rakyat, selain perkhidmatan rawatan yang dapat membantu rakyat menghadapi sebarang risiko jangkitan penyakit," katanya.

Rizam berkata, pembinaan semula klinik kesihatan itu diharap jauh lebih sempurna dengan dilengkapi fasiliti kesihatan terbaik.

"Kita dapati klinik kesihatan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar kebanyakannya dibina sejak lama dan kita memerlukan bangunan klinik baharu lebih tersusun dan dalam masa sama mempunyai peralatan kesihatan lebih canggih mengikut keadaan semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Klinik Kesihatan Parit Baru di sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.49 pagi.

Dalam pada itu, Dr Sha'ari berkata, perkhidmatan Klinik Kesihatan Parit Baru yang musnah dalam kebakaran pada awal pagi Selasa dipindahkan sementara bermula pada hari sama sehingga satu tarikh dimaklumkan kelak.

Jelas beliau, pemindahan itu membabitkan perkhidmatan klinik ibu dan anak meliputi pemeriksaan ibu mengandung, imunisasi dan postnatal dipindahkan ke Klinik Desa Teluk Rhu, manakala perkhidmatan lain-lain dipindahkan ke Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar.

Katanya, bangunan Klinik Pergigian yang tidak terjejas dengan kejadian itu turut dipindahkan ke Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar.