Perkhidmatan klinik kesihatan terbakar dipindah sementara

Keratan portal Sinar Harian pada Selasa.
Keratan portal Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan Klinik Kesihatan Parit Baharu yang musnah dalam kebakaran pada awal pagi Selasa dipindahkan sementara bermula pada hari sama sehingga satu tarikh dimaklumkan kelak.

Pengarah Kesihatan Negeri Selatan, Sha'ari Ngadiman berkata, pemindahan itu membabitkan perkhidmatan klinik ibu dan anak meliputi pemeriksaan ibu mengandung, imunisasi dan postnatal dipindahkan ke Klinik Desa Teluk Rhu, manakala perkhidmatan lain-lain dipindahkan ke Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar.

Menurut beliau, bangunan Klinik Pergigian yang tidak terjejas dengan kejadian itu turut dipindahkan ke Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar.

"Keseluruhan blok pesakit luar meliputi bilik rawatan, bilik kecemasan, farmasi dan makmal didapati telah musnah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sha'ari berkata, kebakaran pada jam 3.30 pagi Selasa itu berjaya dikawal oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada jam 4.52 pagi.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan," ujarnya.

Sebarang pertanyaan yang melibatkan rawatan pesakit, bolehlah berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam menerusi talian 03-32243010.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan terus komited dan berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada komuniti khususnya penduduk di daerah Sabak Bernam.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Klinik Kesihatan Parit Baru di sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.49 pagi.